Khamis, 14 Januari 2021

PKP mungkin dilaksana di kawasan PKPB, PKPP jika kes naik

Kerajaan berharap jumlah kes Covid-19 di sesetengah negeri akan mencatatkan 
penurunan dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP, jika semua pihak 
mematuhi SOP.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di negeri dikenakan PKP bersyarat dan PKP pemulihan, jika jumlah kes di kawasan itu meningkat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan sebaliknya juga boleh berlaku, jika negeri bawah PKP mencatatkan penurunan kes Covid-19.

“Keadaan boleh berubah daripada PKPB jadi PKP, kalau kes meningkat. Kalau kes menurun, ia boleh jadi PKPP, bergantung kepada kes di negeri tersebut.

“Sebab itu, dalam dua minggu ini, kita harap ada perubahan jumlah kes di sesetengah negeri, kalau patuh apa ditentukan kerajaan,” katanya pada sidang media sambil merayu rakyat mematuhi SOP.

Mengulas rungutan ibu bapa bekerja tidak boleh menjaga anak kerana sekolah masih ditutup di kawasan PKP, beliau meminta majikan menggunakan budi bicara, jika perlu mengamalkan budaya kerja dari rumah bagi mengurangkan beban dihadapi ibu bapa.

Aktiviti riadah di taman awam dilarang

Ismail berkata, orang ramai dilarang melakukan aktiviti riadah di taman awam di kawasan PKP.

“Kerajaan hanya membenarkan aktiviti riadah seperti joging dan berbasikal terhad kepada dua orang satu rumah, hanya di kawasan kejiranan saja.

“Kawasan taman awam dalam kawasan PKP tidak dibenarkan.”

Tiada ulasan: