Ahad, 17 Januari 2021

Hanya dua daerah di Sabah zon kuning, tiga zon jingga

Bernama
Hanya dua daerah di Sabah zon kuning, tiga zon jingga
Masidi berkata 379 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar 
dari hospital semalam menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih ialah 
38,989 orang. - Gambar fail
 
KOTA KINABALU: Hanya dua daerah di Sabah diletak di bawah zon kuning, tiga di bawah zon jingga manakala selebihnya zon merah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun semalam.
 
Beliau berkata daerah yang berada dalam zon kuning ialah Tongod dan Telupid manakala Nabawan, Beluran serta Kuala Penyu diletak di bawah zon jingga.
 
Katanya daerah Kota Kinabalu yang diletak di bawah zon merah pula mencatatkan kes positif sebanyak 81 diikuti Tawau (67 kes), Sandakan (51), Lahad Datu (40) dan Penampang (28).
 
"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 449 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 43,251 dan empat kes kematian direkodkan iaitu tiga di Lahad Datu dan satu di Tuaran," menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.
 
Masidi, yang juga jurucakap COVID-19 negeri, berkata daripada 449 kes positif itu 338 adalah hasil saringan kontak rapat, 77 saringan bergejala, tujuh saringan kluster sedia ada, empat kes rentas negeri dan 23 kes daripada kategori lain.
 
Katanya seramai 379 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital semalam menjadikan jumlah kumulatif pesakit pulih ialah 38,989 orang.
 
Beliau berkata sejumlah 2,957 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 762 orang di hospital dan 2,195 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala 77 orang berada di Pusat Rawatan Rapi dengan 19 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.-- BERNAMA

Tiada ulasan: