MALAYSIAKINI
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mendedahkan rancangan untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara ini.
"Jangkaan yang dilakukan Kementerian Kesihatan yang Malaysia akan berhadapan dengan kemungkinan 8,000 kes harian sangat membimbangkan.
"Kerajaan harus segera mendedahkan apa rencana mereka dan juga strategi bagi membendung penularan wabak ini tatkala sistem kesihatan sudah semakin tenat, serta rancangan bagaimana ekonomi kita harus terus bergerak saat ini," katanya dalam satu kenyataan media.
Penularan Covid-19 terus mencatatkan empat angka dengan 2,433 kes baru direkodkan semalam, manakala sebanyak 27,332 kes aktif direkodkan.
Kenyataan Anwar itu dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed turut disahkan positif virus itu dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan.
Manakala Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Rina Harun disahkan positif pagi semalam dan dimasukkan ke wad Hospital Sungai Buloh sejak pagi tadi.
Sambil mendoakan kesembuhan kepada kedua-dua menteri kabinet berkenaan, Anwar menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membendung wabak Covid-19.
"Apa yang terutama adalah para pemimpin politik mesti tingkatkan disiplin dan keprihatinan kepada rakyat yang tidak menerima sebarang layanan istimewa ketimbang mereka yang berada di dalam kerajaan," kata Anwar sambil mengulangi penghargaan terhadap petugas barisan hadapan.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kebimbangannya terhadap kadar kematian akibat Covid-19 antara tahun ini dengan tahun lalu.
"Untuk sembilan bulan pertama pada 2020, kes kematian kurang daripada 100. Pada tahun ini, dalam tempoh sembilan hari, kita sudah mencatatkan sebanyak 71 kes kematian Covid-19.
"Kita amat bimbang dengan perkembangan ini dan semoga Allah melindungi kita semua," katanya.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan perutusan khas berhubung tindakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak itu petang ini.
'Rakyat berhak tahu status jangkitan menteri'
Dalam kenyataan berasingan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata rakyat Malaysia berhak tahu mengenai status Covid-19 semua menteri kabinet.
"Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui status jangkitan Covid-19 semua Menteri Kabinet dan maklumat ini perlu diberikan sepenuhnya secepat mungkin, memandangkan keadaan defisit kepercayaan yang dihadapi oleh para menteri dan pemimpin Perikatan Nasional dalam menguruskan wabak Covid-19 dalam negara kita," kata Kit Siang.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen pula berkata kerajaan kini berhadapan masalah persepsi daripada orang ramai berhubung langkah membendung penularan Covid-19.
"Pertanyaan lanjut adalah bagaimana menteri-menteri ini dijangkiti? Apakah mereka menghadiri banyak acara awam? Apakah mereka tidak cukup berdisiplin untuk mematuhi SOP mereka sendiri? Sekiranya menteri gagal mematuhi SOP, maka orang ramai perlu tahu.
"Kerajaan harus menjelaskan secara telus bagaimana menteri-menteri ini dijangkiti, agar boleh meredakan spekulasi dan kebimbangan masyarakat. Ini perlu dilakukan sekarang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan