Ahad, 17 Januari 2021

Akta baru boleh dikuat kuasa lebih cepat ketika darurat, kata Annuar

Annuar Musa berkata, dalam keadaan darurat, kerajaan boleh mengemukakan 
undang-undang baru itu kepada Agong tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau 
Dewan Negara.

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, pelaksanaan darurat membolehkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang baru lebih cepat.

Dalam keadaan biasa, katanya, undang-undang baru hanya boleh dikuatkuasakan selepas ia dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada perkara yang secara cepat perlu kuat kuasa undang-undang. Cara kuat kuasa undang-undang biasa akan mengambil masa empat hingga enam bulan, tetapi untuk Covid, kita kena bertindak serta-merta,” katanya dalam video siaran langsung di Facebooknya.

Dalam keadaan darurat, beliau berkata, kerajaan boleh mengemukakan undang-undang baru itu kepada Agong tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Katanya, proses itu hanya berlaku ketika darurat dan semua undang-undang baru perlu dibentangkan di Parlimen selepas darurat berakhir.

Annuar berkata, sekarang bukan masanya untuk berpolitik, sebaliknya lebih banyak tumpuan perlu diberikan dalam usaha membantu rakyat.

Mengenai dakwaan beliau mengubah keputusan membuka taman awam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata, perubahan itu dibuat berdasarkan aduan orang ramai dan penilaian serta perbincangan dengan perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

“‘Flip flop’ ke arah kebaikan tak apa, (tapi) jangan ‘flip flop’ yang menimbulkan kekeliruan. ‘Flip flop’ ataupun ubah keputusan untuk kebaikan rakyat dan benda yang baik mesti kita lakukan.

“Soal dobi layan diri, kedai cermin mata, taman awam dan ada lagi yang mungkin dibenarkan, kita mesti menjadi kerajaan yang lebih mendengar, tidak boleh (jadi) kerajaan yang asal keluar peraturan saja, ini tak boleh, itu tak boleh.”

Tiada ulasan: