Ahad, 17 Januari 2021

Kegiatan kuari musnah Air Terjun Tanjung Batu

Kawasan Air Terjun Tanjung Batu dekat Segari, Pantai Remis yang musnah akibat 
kegiatan kuari.

PANTAI REMIS: Air Terjun Tanjung Batu yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang musnah akibat kegiatan kuari berhampiran, sejak kerja perlombongan dibenarkan pada Julai tahun lalu oleh kerajaan negeri, kata kumpulan alam sekitar.

Tinjauan media bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan penduduk kampung ke air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300 meter itu mendapati hutan di kiri dan kanannya sudah dibersihkan, mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

Timbalan Pengerusi KUASA, Ismady Radzuan, berkata pihak yang berkenaan diharap dapat menghentikan kegiatan itu, lebih lagi air terjun itu menjadi tumpuan riadah masyarakat setempat.

“Kalau tengok keadaan air terjun, sukar untuk lakukan pemuliharaan tapi saya yakin kalau kita boleh hentikan apa yang ada dan tinggalkan, kawasan ini boleh pulih secara semulajadi.

“Cuma saya tidak pasti bagaimana caranya kerana jika diikutkan kawasan kuari berkenaan termasuk dalam kompartmen air terjun ini,” katanya kepada pemberita.

Dengan lubuk di setiap tingkatnya, Ismady berkata air terjun ini juga menjadi tarikan bagi penggiat aktiviti lasak, namun tidak dibuka kepada orang awam kerana terletak dalam HSK.

Laluan air dari air terjun ke kawasan tadahan air kuari.

Kemusnahan kawasan berkenaan tular sejak Jumaat lalu selepas beberapa gambar yang diambil orang awam dikongsi di Facebook dan Twitter, membandingkan keadaan air terjun sebelum ini dengan sekarang.

Akaun FB, Otai Manjung, memuat naik gambar papan tanda di kawsan berhampiran, menunjukkkan pembangunan kuari itu diluluskan kerajaan negeri di sebahagian kompartmen 16 di HSK Segari Melintang.

Menurut KUASA, permit bagi kuari itu diluluskan kerajaan negeri pada 2018.

Sementara itu, penduduk kampung, Ishak Mohammad, 63, berharap pihak berwajib dapat memulihkan kemusnahan air terjun mereka.

“Kalau ikut sejarah sejak 1978, kita melihat air terjun ini cantik namun sekarang amat teruk.

“Kita bukan membantah untuk pembangunan tetapi kalau mereka perlu prihatin dengan alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, EXCO Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin, berkata Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah diarah untuk membuat laporan.

“Sekiranya apa yang berlaku itu disebabkan kegagalan pematuhan dalam syarat lesen maka tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkaitan.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini dan memberi jaminan untuk menyelesaikan dan mencari punca sebenar dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: