Ahad, 17 Januari 2021

Ahli sindiket ah long ditahan polis

Oleh KHAIRUL MOHD ALI

PASIR GUDANG: Seorang lelaki dipercayai ahli sindiket ah long yang aktif melakukan jenayah ugutan dengan menyimbah cat merah dan membaling bahan letupan molotov koktel ke rumah mangsa diberkas polis di Taman Ria Plentong, Masai, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai menerima bayaran sebanyak RM300 bagi setiap jenayah ugutan yang dilakukannya.

“Bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia yang aktif melakukan jenayah ugutan terhadap mangsa sindiket ah long dengan menyimbah cat dan membaling bahan letupan molotov koktel.

“Suspek ditahan dihadapan sebuah kedai di Taman Ria Plentong, Masai dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Shahrulanuar, polis turut merampas pakaian dan topi keledar yang terdapat kesan percikan cat merah, marker pen yang dipercayai digunakan untuk menulis nota ugutan serta pemetik api yang dipercayai digunakan untuk menghidupkan sumbu molotov koktel.

“Siasatan lanjut ke atas suspek turut mendapati suspek mempunyai dua rekod dikehendaki atas kesalahan dadah di Johor Bahru dan satu kes penipuan di Inanam, Sabah.

“Suspek juga memiliki empat rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing dibuat mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.

Ujar Shahrulanuar, suspek dipercayai telah melakukan satu kes membaling bahan letupan molotov koktel di hadapan sebuah rumah di Taman Molek, Johor Bahru pada 14 Januari lalu dan satu kes membaling cat merah di hadapan sebuah rumah di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram pada hari sama.

“Suspek kini direman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut kerana polis percaya suspek turut terlibat dalam jenayah sama di beberapa daerah lain dalam negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian dan sindiket ini agar dapat tampil membantu siasatan dengan mengunjungi mana-mana balai berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: