Ahad, 17 Januari 2021

Pemuda UMNO Putrajaya dikompaun langgar SOP

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
PROGRAM pengedaran ayam sejuk beku percuma mengakibatkan kesesakan 
lalu lintas di Putrajaya, semalam. - FB

PUTRAJAYA: Penganjur program pengedaran ayam beku percuma kepada penduduk di sini dikenakan kompaun kerana didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, program anjuran Pemuda UMNO Putrajaya itu tidak mendapat kelulusan pihak polis memandangkan Wilayah Persekutuan berada dalam tempoh PKP.

Beliau berkata, program pengedaran ayam beku percuma itu dibuat secara pandu lalu dengan konsep first come first serve dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas serta kehadiran ramai orang di lokasi program.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati penjarakan fizikal sukar dilaksanakan dalam kalangan hadirin serta SOP gagal dipatuhi oleh pihak penganjur dan orang awam yang hadir.

“Kompaun dikeluarkan kepada pihak penganjur di bawah Seksyen 22(B) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kesalahan di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, polis tidak berkompromi dengan mana-mana individu dalam menguatkuasakan undang-undang sepanjang penguatkusaan PKP ini.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi segala arahan dan SOP yang dikeluarkan kerajaan bagi tujuan membendung seterusnya memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Semalam, sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya hingga menyebabkan kesesakan sehingga jalan utama Presint 9, sekali gus menimbulkan kebimbangan awam terhadap jangkitan Covid-19.

Beberapa keping gambar tular dalam media sosial memperlihatkan orang ramai menaiki motosikal dan kereta beratur panjang untuk mendapatkannya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: