Khamis, 14 Januari 2021

12 pasar malam di Sepang ditutup sepanjang PKP

Oleh AMREE AHMAD
Majlis Perbandaran Sepang

PUTRAJAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan semua 12 tapak pasar malam di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu ditutup selama dua minggu.

Ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Selangor yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan bermula dari 13 Januari sehingga 26 Januari depan.

“Berdasarkan arahan itu, semua pasar malam, pasar sari dan pasar tani dalam kawasan MPSepang adalah ditutup,” katanya menerusi kenyataan di Cyberjaya dekat sini hari ini.

Bagaimanapun kenyataan itu menambah, keputusan penutupan atau sekiranya berlaku pindaan terkini yang lain akan juga dimaklumkan oleh pihak berkenaan dari semasa ke semasa.

Sebelum PKP dilaksanakan, pasar malam di kawasan pentadbiran MPSepang dibuka dari pukul 4 petang hingga 10 malam dengan peniaga beroperasi secara penggiliran mingguan.

Namun, pemakluman tarikh berniaga untuk setiap peniaga terbabit hanya akan diedarkan melalui pesanan teks di telefon bimbit masing-masing bagi mereka membuat persiapan awal.

Antaranya di Taman Murni, Pekan Dengkil, Pekan Salak, Taman Mas, Taman Seroja, Sungai Pelek, Kota Warisan, Desa Pinggiran Putra, Taman Putra Perdana dan Taman Dengkil Jaya.

Selain itu, terdapat 3 pasar sari yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari sahaja, manakala zon pasar tani di kawasan MPSepang setakat ini berjumlah sembilan tapak.

Kesemua pasar beroperasi pada hari berbeza untuk kemudahan penduduk dan sering jadi pilihan masyarakat termasuk dari Putrajaya untuk beli keperluan harian pada harga rendah.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di lima negeri termasuk Selangor dan tiga Wilayah Persekutuan bagi kekang wabak Covid-19. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: