Khamis, 14 Januari 2021

56 PATI guna tongkang seludup masuk ke Malaysia ditahan

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin
Seramai 56 PATI warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin dan Unit Tindakan Khas di dalam sebuah bot tongkang di perairan Pantai Jeram, awal pagi semalam.- Foto NSTP/Ihsan Polis Marin
Seramai 56 PATI warga Indonesia ditahan Pasukan Polis Marin dan Unit Tindakan Khas di dalam sebuah bot tongkang di perairan Pantai Jeram, awal pagi semalam.- Foto NSTP/Ihsan Polis Marin

KUALA SELANGOR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di Selangor tidak menghalang 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyeludup masuk ke negara ini.

Semua PATI terbabit yang terdiri daripada 34 lelaki, 21 perempuan dan seorang kanak-kanak dikatakan cuba memasuki negara ini dengan menaiki bot tongkang pada 3 pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu berjaya dihidu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) sebelum ditahan di perairan Pantai Jeram, di sini.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata ketika rondaan Op Benteng COVID-19 dilakukan, pihaknya mengesan bot tongkang yang mencurigakan di sekitar perairan pantai terbabit.

"Hasil pemeriksaan menemui 56 PATI Indonesia di dalam bot tongkang terbabit.

"Kesemua mereka dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1986.

Tiada ulasan: