Khamis, 14 Januari 2021

Jambatan bailey kedua dibina di Maran

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
PASUKAN 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) membina jambatan bailey di Kampung Belimbing di Maran, Pahang.

MARAN: Sebuah lagi jambatan bailey dibina di Kampung Belimbing di sini oleh Tentera Darat bagi membantu masyarakat yang terjejas susulan bencana banjir di negeri ini.

Sebelum ini sebuah jambatan bailey dibina di Kampung Lechar Ulu Dong, Raub selepas jambatan asal di situ rosak akibat banjir.

Menurut kenyataan Tentera Darat, jambatan ‘compact bailey 200’ di Kampung Belimbing itu merupakan jambatan kedua yang dibina oleh pasukan 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) di negeri ini susulan bencana banjir.

“Pembinaan jambatan ini bagi menghubungkan tiga lokasi yang terjejas iaitu Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya yang melibatkan hampir 2,600 orang penduduk.

“Pembinaan jambatan ini telah bermula pada 12 Januari lalu dan dijangka siap esok,” jelas kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, pembinaan jambatan berkenaan merupakan antara usaha pihak Tentera Darat dalam membantu masyarakat awam di kawasan terjejas banjir. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: