Selasa, 10 November 2020

Polis tahan 72 pengunjung disko di Serdang

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan yang dikesan sering beroperasi sehingga jam 2 pagi setiap hari termasuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), digempur polis awal pagi semalam.

Seramai 72 pelanggan dan 11 pekerja ditahan dalam serbuan jam 1.15 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata serbuan dibuat selepas maklumat risikan mendapati pusat hiburan itu sering beroperasi lebih masa sejak sekian lama.

"Premis hiburan yang didirikan dalam bangunan kedai dua tingkat di kawasan komersial ini dipercayai menjadi tumpuan penduduk dari Sabah dan Sarawak untuk berhibur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah. FOTO IHSAN POLIS
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu 
Samah. FOTO IHSAN POLIS

"Berdasarkan maklumat risikan kita dapati kebanyakan pelanggan di sini menggunakan khidmat kereta e-hailing untuk datang dan pulang dari berhibur bagi mengelakkan pihak polis mengesan kenderaan yang diparkir sekali gus menandakan adanya aktiviti hiburan hingga lewat pagi," katanya kepada BH hari ini.

Razali berkata, pihaknya turut menjalankan ujian air kencing dan pemeriksaan rekod jenayah lampau namun tiada antara mereka dikesan positif dadah selain tidak terbabit dalam mana-mana kegiatan jenayah.

"Bagaimanapun pihak polis menahan kesemua pengunjung terdiri daripada 53 lelaki dan 19 wanita berusia antara 18 hingga 37 tahun dan membawa mereka ke Balai Polis Puchong Jaya.

"Turut ditahan tujuh lelaki dan empat wanita yang juga pekerja pusat hiburan berkenaan," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan dikompaun RM1,000 setiap orang di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam operasi itu, pihak polis turut merampas dua set pembesar suara, satu mixer, salinan lesen perniagaan pusat hiburan (PUB), enam keping resit jualan, menu minuman keras dan wang tunai RM2,644.

Tiada ulasan: