Ahad, 29 November 2020

Johor tangguh aktiviti di 27 masjid, surau Batu Pahat

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu melibatkan 27 masjid dan surau di daerah Batu Pahat ditangguhkan sementara berikutan penularan Covid-19 membabitkan ahli kariah.

Kadi Daerah Batu Pahat, Mohd. Nasri Rahman berkata, masjid dan surau terlibat terlibat telah dikategorikan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat sebagai berisiko kepada ahli kariah.

“Solat fardu lima waktu di masjid dan surau berkenaan hanya dibenarkan empat orang pegawai masjid manakala solat Jumaat pula dibenarkan kepada 12 jemaah termasuk pegawai masjid.

“Antara 27 masjid dan surau terlibat adalah Masjid Dato’ Bentara Luar, Masjid Simpang Tiga, Masjid Universiti Tun Hussein Onn dan Surau Batu 7 Tongkang Pecah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nasri memaklumkan, masjid dan surau lain di kawasan Tongkang Pecah yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk terus melaksanakan solat Jumaat dan lima waktu dengan kehadiran jemaah mengikut satu pertiga kapasiti keluasan bangunan.

Katanya, namun semua aktiviti keagamaan seperti kuliah harian, kelas al-Quran dan majlis selawat adalah tidak dibenarkan.

“Bagi masjid dan surau telah dikenal pasti berisiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat adalah tidak dibenarkan melaksanakan solat lima waktu dan Jumaat kecuali bagi empat pegawai masjid untuk solat fardu manakala 12 orang pula untuk solat Jumaat.

“Bagi ahli kariah lain yang tidak dibenarkan solat Jumaat dan lima waktu, maka mereka hendaklah menunaikannya di rumah masing-masing,” katanya.

PKPB akan dilaksanakan di Tongkang Pecah, daerah Batu Pahat bermula esok sehingga 13 Disember selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan susulan situasi semasa Covid-19 di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: