Sabtu, 28 November 2020

Penguatkuasaan sempadan Sungai Golok mencabar

PENGUATKUASAAN-SG-GOLOK
Shafien Mamat (kiri) bersama pegawainya melakukan tinjauan di pangkalan haram Nibong, Tumpat. foto Bernama

TUMPAT – Sempadan negara yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok memang menampilkan cabaran yang amat getir dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah merentasi sempadan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, ada sesetengah tempat di kawasan berkenaan, jarak yang memisahkan dua negara berjiran itu terlalu dekat, malah jika dibaling objek seperti batu, ia sudah dapat melintasi Sungai Golok, dan masuk ke negara jiran.

Beliau juga tidak menafikan wujudnya banyak ‘laluan tikus’ yang yang dibuat oleh kumpulan penyeludup bagi membawa barangan mahupun imigran, selain kewujudan “tonto” yang bertindak menyalur maklumat mengenai pergerakan kumpulan penguatkuasa kepada penjenayah.

Katanya selain itu anggota penguat kuasa di sempadan juga sememangnya terdedah kepada risiko tindakan agresif penyeludup.

“Contohnya, dalam dua bulan lepas ada anggota di sempadan ditembak menggunakan senapang angin,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan sempadan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.

“Kita tahu senapang angin biasanya tidak mengeluarkan bunyi, tetapi dalam jarak tertentu boleh mendatangkan kecederaan. Ini adalah antara risiko yang perlu dihadapi, di samping banyak lagi ancaman lain seperti ugutan dan sebagainya,” tambahnya.

Sehubungan itu Shafien berkata polis amat memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani isu-isu di sempadan, dan sebagai pasukan penguat kuasa, polis bukan sahaja bersandarkan kepada kekuatan sedia ada sahaja, tetapi juga memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak khususunya penduduk setempat.

“Kita tahu ada penduduk yang sukar memberikan kerjasama kerana ada yang terlibat kemungkinan saudara mara mereka. Jadi dalam isu ini, marilah kita bersama-sama pihak berkuasa supaya segala isu permasalahan di sempadan dapat ditangani,” katanya.

Sementara itu Shafien berkata, di Kelantan ada empat daerah yang bersempadan dengan Thailand dan beliau mengakui bahawa jumlah keanggotaan memang tidak mencukupi untuk mengawasi keseluruhan kawasan sempadan.

Katanya perkara itu akan dibincangkan peringkat tertinggi di Ibupejabat Polis Bukit Aman dalam masa terdekat, khususnya dalam aspek penambahan anggota penguat kuasa di sempadan negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: