MALAYSIAKINI
PARLIMEN | Draf pindaan terbaru Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang dikenali sebagai RUU355, akan dibincangkan di peringkat negeri pada awal tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata perbincangan akan dipimpin oleh jawatankuasa teknikal undang-undang syarak dan syariah Jabatan Hal Ehwal Islam (Jakim), yang diamanah oleh Majlis Raja-raja untuk menyusun pindaan itu.
Menurutnya, pada 16 Ogos lalu kerajaan melakukan rombakan dan menyusun semula keanggotaan jawatankuasa teknikal dan barisan keanggotaan baru yang lebih mantap dan berwibawa dibentuk.
"Sejurus pelantikan tersebut, pada 2 hingga 6 September 2020, Jawatankuasa Teknikal mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cadangan pindaan RUU355.
“Dalam perbincangan tersebut cadangan pindaan RUU355 diteliti dan dibahaskan dengan terperinci dari pelbagai aspek khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak, katanya.
Marzuk berkata pada 1 hingga 3 Oktober, mesyuarat khas jawatankuasa teknikal diadakan untuk menggubal RUU355 berdasarkan input daripada perbincangan sebelum ini.
"Hasilnya, jawatankuasa teknikal berjaya menggubal draf RUU355.
“Jawatankuasa teknikal merancang untuk membentangkan cadangan pindaan Akta 355 dan draf RUU355 yang digubal tersebut kepada negeri-negeri melalui Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadualkan pada awal 2021," katanya.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu pada 12 Sep lalu, Pemuda PAS meletakkan harapan agar RUU355, dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat kali ini.
Ketuanya, Khairil Nizam Khiruddin menyuarakan perkara itu dalam ucap utama Muktamar Pemuda PAS kali ke-61 yang berlangsung di Kota Bharu.
RUU355 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS merangkap anggota parlimen Marang Abdul Hadi Awang, sebagai RUU persendirian.
Perbahasan berkenaannya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentang pada November 2016 dan April 2017.
Setakat ini, RUU355 tersebut hanya baru di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan