Jumaat, 27 November 2020

Peruntukan beli kenderaan lulus Kerajaan PH

HARAKAH DAILY

ALOR SETAR: Dakwaan kononnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah melulus peruntukan bagi membeli kereta baharu adalah tidak berasas.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan itu sebenarnya dilulus dalam Bajet Kedah 2020 ketika negeri itu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sepatutnya kenderaan berkenaan dibeli pada awal 2020 namun berikutan berlaku pandemik Covid-19 maka ditangguhkan dan dibeli sekarang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya lagi pembelian 12 Honda Accord dan 11 kenderaan pacuan empat roda (Hilux) untuk kegunaan jabatan dan daerah tertentu berikutan kenderaan sedia ada tidak dapat digunakan lagi.

“Ada dari kalangan mereka menggunakan kereta sendiri sebab tiada kenderaan jabatan dan ada yang terpaksa menggunakan lori untuk turun operasi dan sebagainya,” kata beliau.

Menurutnya juga pembelian kenderaan terbabit tidak melibatkan kegunaan anggota Exco kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: