Jumaat, 27 November 2020

Penternak minta pengguna lebih banyak beli ayam

MalaysiaGazette
MGF05112020_BELANJAWAN-PENTERNAKAN05
Penternak ayam kini berdepan pelbagai masalah yang merangkumi COVID-19, perubahan cuaca, kenaikan harga bahan mentah dan penjualan ayam beku import oleh sesetengah peniaga. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pengeluaran daging ayam telah bertambah kebelakangan ini dan orang ramai diajak membeli lebih  banyak ayam untuk membantu penternak menghadapi lebihan penawaran di pasaran.

Ketua Unit Ayam, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Kwei Yew Tong berkata, sesetengah ladang ternakan berskala kecil dan sederhana mungkin terpaksa gulung tikar sekiranya masalah tersebut tidak diatasi.

Katanya, penternak ayam kini berdepan pelbagai masalah yang merangkumi COVID-19, perubahan cuaca, kenaikan harga bahan mentah dan penjualan ayam beku import oleh sesetengah peniaga.

Jelasnya, gabungan faktor-faktor tersebut telah menyebabkan penurunan jualan daging ayam yang menjejaskan rezeki penternak.

“Kerajaan mengumumkan harga kawalan ayam hidup pada Deepavali di paras RM5.70 sekilogram, tetapi harga borong sekarang telah turun sebanyak 25 peratus,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, disebabkan pengurangan orang yang menjamu selera di luar, jumlah tempahan ayam daripada kedai makan telah berkurangan.

“Selain itu, ada peniaga yang memilih ayam beku import dari luar negara dan keadaan ini juga menjejaskan pendapatan penternak tempatan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia telah mencapai tahap sara diri untuk bekalan daging ayam dan pengimportan ayam hanya akan menyukarkan kehidupan penternak yang sudah berdepan masalah permintaan yang menurun.

Ujarnya lagi, perubahan cuaca menyebabkan ayam lebih cepat membesar dan menyebabkan penawaran daging meningkat.

“Di luar negara pula, cuaca yang bertukar lebih sejuk dan kering mengurangkan hasil tuaian jagung yang menjadi makanan ayam. Tetapi, kos pengangkutan pula telah meningkat.

“Faktor-faktor ini menyebabkan kos bahan mentah meningkat 20 peratus, malahan mungkin mencecah 30 peratus pada Disember,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menyiasat pengimportan ayam beku dari luar negara.

“Pengimportan ayam beku adalah untuk tujuan pemprosesan makanan dan bukannya dijual terus kepada pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: