Sabtu, 28 November 2020

Pahang rekod 82 kes curi balak sepanjang 8 bulan PKP

Siti Hafidah

 

Sindiket guna pelbagai helah untuk lepaskan diri, ceroboh

BANGI – Sebanyak 82 kes curi balak dan kayu bergergaji dikesan berlaku sepanjang lapan bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pahang.

Menurut rekod Unit Penguat Kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), bulan Jun mencatat kegiatan mencuri balak tertinggi, iaitu 19 kes diikuti Julai dan September masing-masing 15 kes, Oktober (10), Ogos (tujuh), April (enam) serta Mei dan Mac masing-masing lima.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, dalam tempoh berkenaan pihaknya turut melumpuhkan beberapa kes kegiatan melombong emas secara haram terutama di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.

“Sepanjang PKP kita dapati kegiatan mencuri balak dan kayu bergergaji meningkat dengan pelbagai cara dan helah digunakan sindiket terbabit untuk melepaskan diri,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, terbaharu sindiket curi balak dikesan mencampurkan balak berlesen dengan balak curi di pusat penyimpanan balak atau matau.

Taktik yang sama dikesan di Hutan Simpan Berkelah, Jerantut membabitkan sebanyak 300 tual balak pelbagai spesies bernilai RM300,000 berlaku pada Jun lalu, katanya.

Tambah beliau, kegiatan curi balak ini menyebabkan kerajaan negeri menanggung kerugian.

“Tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak yang didapati bersalah,” katanya.

Tiada ulasan: