Bernama
Ujian
diwajibkan ke atas semua sekalipun ujian saringan kali pertama yang
dilakukan tiga hari sebelum mereka berlepas dari Sabah menunjukkan
keputusan negatif. -Astro AWANI/Gambar fail
KOTA BHARU:
Mereka yang tiba di Kelantan dari Sabah perlu menjalani ujian calitan
COVID-19 kali kedua selepas lima hari menjalani kuarantin wajib, kata
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Jefny Muhammad.
Katanya
ujian itu diwajibkan ke atas semua sekalipun ujian saringan kali
pertama yang dilakukan tiga hari sebelum mereka berlepas dari Sabah
menunjukkan keputusan negatif.
"Sebaik
tiba di lapangan terbang, mereka akan dibawa ke pusat kuarantin yang
ditelah diwartakan untuk menjalani ujian swab dan juga bagi menjalani
kuarantin wajib selama lima hari.
"Setakat
ini kita mempunyai dua tempat kuarantin yang telah diwartakan iaitu di
Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Pengkalan Chepa dan Kolej
Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas selain di Hotel H Elite bagi
mereka yang berkemampuan," katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat
MKN di Pejabat Cawangan Kawalan Penyakit, Bahagian Kesihatan Awam,
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas
lanjut, Jefny berkata bermula esok, seramai 121 pengembara dari Sabah
termasuk penjawat awam, guru, polis dan sebagainya akan tiba di Lapangan
Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa.
Untuk itu katanya dua buah bas disediakan bagi membawa individu terbabit ke pusat kuarantin.
"Bagi
mereka yang datang atas tujuan rasmi seperti mesyuarat, mereka juga
akan dinilai oleh Jabatan Kesihatan Negeri yang akan bertugas di LTSIP
dan melalui penilaian ini kemungkinan mereka dipakaikan gelang hijau
sahaja bagi membolehkan mereka hadir di tempat yang perlu sahaja,"
katanya.
Beliau menjelaskan langkah itu
diambil bagi menjaga kemaslahatan masyarakat tempatan berikutan Sabah
antara negeri yang merekodkan kes jangkitan COVID-19 tertinggi di negara
ini.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan