Ampang: Empat premis terdiri daripada rumah dan kedai di Kampung Baru Ampang, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.53 pagi tadi.
"Seramai 67 pegawai serta anggota bersama sembilan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah, BBP Ampang, BBP Bandar Tun Hussein Onn, BBP Keramat, BBP Wangsa Maju, BBP Cheras dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kebakaran membabitkan empat premis terdiri daripada kedai serta rumah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit bagi mengawal kebakaran.
"Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan