Isnin, 9 November 2020

Pengangguran negara diunjur antara 701,000 hingga 729,000 orang

MGF04112020_HUMAN-INTEREST_01-1
Sebahagian pekerja menaiki bas selepas tamat waktu bekerja ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2021 di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran September 2020 menurun sedikit kepada kepada 4.6 peratus mencatatkan 737,500 orang penganggur, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, September 2020 menyaksikan pemulihan yang berterusan dapat dilihat dalam penawaran tenaga buruh negara di tengah-tengah cabaran membendung penyebaran pandemik Covid-19 melalui pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan.

Kadar pengangguran menurun sedikit dengan bilangan penganggur turun 0.6 peratus bulan ke bulan merekodkan 737.5 ribu orang daripada 741,600 orang pada Ogos 2020.

Sebaliknya, guna tenaga terus mencatatkan peningkatan, yang mana penduduk bekerja bertambah 0.3 peratus (Ogos 2020: 0.5%) kepada 15.19 juta orang terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Walau bagaimanapun, penurunan dalam guna tenaga didapati berlaku dalam sektor pertanian dan pembinaan, yang mana secara tidak langsung menggambarkan kekurangan penawaran buruh dalam kedua-dua sektor.

Nisbah guna tenaga kepada penduduk bagi September 2020 kekal pada 65.2 peratus.

Menurutnya, melihat kepada penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja meningkat sebanyak 14,900 orang merekodkan 11.73 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

Bekerja sendiri merangkumi 2.43 juta orang, meningkat 0.7 peratus berbanding Ogos 2020, sementara itu, terdapat 100,700 penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu berbanding 102,000 orang yang direkodkan pada Ogos 2020.

Kumpulan ini, yang berkemungkinan besar tidak dapat bekerja tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan untuk dikembalikan.

Tambahnya, bagi tenaga buruh, mencatatkan sejumlah 15.93 juta orang pada September 2020 dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus (Ogos 2020: 15.90 juta orang).

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 68.4 peratus.

Selain itu, luar tenaga buruh meningkat 0.1 peratus kepada 7.36 juta orang dengan komposisi terbesar yang disebabkan oleh kerja rumah/ tanggungjawab keluarga.

Kedudukan pasaran buruh bagi bulan ini juga dapat dilihat melalui Statistik Kehilangan Pekerjaan (LOE) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang merekodkan penurunan 20.2 peratus (1,873 orang) kepada 7,388 orang pada September 2020 berbanding bulan sebelumnya (9,261 orang).

Begitu juga, bilangan pemberhentian pekerja yang dilaporkan oleh Jabatan Tenaga Kerja turut menunjukkan trend penurunan.

Mohd Uzir berkata, berdasarkan MyFuture Jobs, sejumlah 58,607 kekosongan jawatan dilaporkan dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada September 2020, berbanding 49,811 orang pencari kerja.

Mengulas mengenai penawaran buruh pada suku tahun ketiga 2020, beliau berkata, selepas merekodkan kadar pengangguran tertinggi 5.1 peratus pada suku tahun kedua 2020, kadar pengangguran pada suku tahun ini menurun kepada 4.7 peratus.

Kadar pengangguran yang lebih rendah disebabkan oleh pengoperasian semula hampir semua sektor ekonomi termasuk aktiviti sosial, pendidikan dan keagamaan.

Di samping itu, aktiviti pelancongan domestik juga telah beransur pulih berikutan kebenaran perjalanan rentas negeri pada suku tahun tersebut.

Maka, bilangan penduduk bekerja pada suku tahun ini meningkat 1.4 peratus kepada 15.10 juta orang, terutamanya dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

KPTB meningkat 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus dengan lelaki dan perempuan masing-masing mencatatkan kadar 80.5 peratus dan 55.3 peratus.

Merumuskan kedudukan keseluruhan tenaga buruh, beliau berkata, sehingga suku tahun ketiga 2020, kedudukan guna tenaga, kadar pengangguran dan KPTB Malaysia telah pulih secara beransur-ansur, namun secara relatifnya masih belum mencapai tahap normal sebelum pandemik Covid-19.

Sehubungan itu, Mohd Uzir berkata, mengambil kira statistik tenaga buruh sehingga September 2020 dan senario semasa, DOSM telah menyemak semula ramalan kadar pengangguran bagi tahun 2020 kepada lingkungan 4.4 peratus hingga 4.7 peratus berbanding ramalan awal iaitu 3.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Dengan semakan semula kadar ini, bilangan penganggur yang dianggarkan bagi tahun 2020 akan berada dalam lingkungan 701,000 hingga 729,000 orang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: