ALOR GAJAH: Niat seorang jemaah
melepaskan ‘hajat’ terbantut selepas terkejut nampak seekor ular tedung
selar menyorok di belakang mangkuk tandas di Masjid Dol Said di sini
semalam.
Dalam kejadian pukul 7.40 malam,
reptilia sepanjang 1.5 meter dan seberat tiga kilogram berjaya ditangkap
dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Alor Gajah.
Menceritakan detik cemas itu, Saadon
Awang, 55, seorang pesara tentera berkata, kejadian berlaku ketika dia
masuk ke tandas selepas menunaikan solat Maghrib.
“Saya tunduk untuk mengambil gayung di dalam baldi namun terkejut ternampak badan ular bergulung di sebalik tandas duduk.
“Saya terus keluar dan melaporkan kepada pihak jawatankuasa masjid,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, haiwan itu dipercayai masuk ke dalam tandas selepas pintu dibiarkan terbuka, selain faktor kawasan yang lembap.
Sementara itu, Pegawai Operasi APM
Daerah Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, panggilan
kecemasan diterima pukul 7.52 malam.
“Empat anggota ke lokasi dan kami mengambil masa enam minit untuk menangkap ular tersebut,” katanya.
Tambah Abdul Hadi, operasi tangkapan mengambil sedikit masa disebabkan kawasan tandas yang kecil.
Katanya, ular tersebut kemudian dilepaskan ke habitatnya jauh dari kawasan penempatan.- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan