Ahad, 29 November 2020

Anggota polis wanita cedera terkena tembakan

 Oleh ZAID MOHD NOOR

BUKIT KAYU HITAM: Seorang anggota polis wanita berpangkat konstabel cedera pada jari kelengkeng kaki kirinya akibat terkena tembakan yang dilepaskan rakan setugas tanpa sengaja di sebuah balai polis di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, mangsa berusia 31 tahun dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kejadian berlaku apabila seorang anggota wanita berpangkat konstabel berusia 25 tahun dari Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini melepaskan satu das tembakan tanpa disengajakan.

“Anggota terbabit melepaskan tembakan tanpa disengajakan itu semasa pemeriksaan mengosongkan senjata dijalankan.

“Kejadian berlaku di kaunter aduan balai polis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kejadian telah menyebabkan kecederaan kepada rakannya, juga merupakan anggota wanita berpangkat konstabel.

“Semasa kejadian mangsa berada di hadapan rakannya itu pada jarak kira-kira tiga meter,” katanya.

Tambahnya, anggota yang cedera itu dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: