Oleh ROSLIZA MOHAMED dan ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU: Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) melibatkan laluan Bentong, Pahang ke Kuala Krai dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dijangka siap sepenuhnya 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga kini, sebanyak 21 peratus daripada keseluruhan jajaran CSR telah siap dan boleh digunakan.
Kata beliau, laluan yang sudah siap tersebut meliputi jalan dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang sejauh 62 kilometer.
“Jajaran KBKK yang sudah boleh dilalui pengguna jalan raya adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan sepanjang 13.85 kilometer iaitu 20 peratus daripada keseluruhan projek ini.
“Apabila siap kelak, CSR dan KBKK dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan selain membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bermesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor.
Mustapa berkata projek CSR dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai melibatkan laluan sejauh 295.7 kilometer manakala KBKK pula melibatkan laluan sejauh 67.6 kilometer dengan jumlah kos keseluruhan diluluskan di peringkat dasar RM9.5 bilion.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua projek berkenaan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 hanya dapat dilaksanakan apabila diluluskan pada peringkat jawatankuasa di persidangan Parlimen.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini masih dalam proses pemilihan kontraktor dan dijangka mengambil masa sebulan sebelum kerja-kerja pembesaran dapat dimulakan.
Katanya, projek itu bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan