Isnin, 30 November 2020

Beza arak dan rasuah, sama seperti beza bodoh atau gila – Hadi

Manzaidi Mohd Amin
MGF23092020_TEMUBUAL-EKSKLUSIF-PRESIDEN-PAS07Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Kemudaratan minum arak dan perbuatan rasuah adalah sama bahaya, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, perbezaan kedua-dua perkara itu sama seperti perbandingan mana yang lebih berat, antara bodoh dan gila.

Kata beliau, sama ada arak atau rasuah, bodoh atau gila, ia juga sama bahaya antara mencuri dan merompak.

“Timbul persoalan mana lebih berbahaya antara kemudaratan arak dan rasuah. Saya kata, keduanya sama berat antara bodoh dan gila, dan sama bahaya antara mencuri dan merompak.

“Jawapan kepada persoalan ini ialah sama bahaya, hanya terdapat perbezaan pada cara, pendekatan dan lapangan sahaja, tetapi arak dan rasuah diharamkan oleh Islam.

“Jika dilihat secara zahir, gila itu lebih bahaya daripada jahil dan bodoh, tetapi kos untuk mengawal orang gila lebih murah banding mengatasi kebodohan dan kejahilan,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang dimuatnaik menerusi Facebooknya, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Datuk Mohamed Arshad Raji dilaporkan mempersoalkan langkah yang diambil Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menghentikan lesen penjualan minuman keras mulai Oktober tahun depan.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary, kemungkinan kerajaan akan memperluaskan larangan penjual arak di kedai runcit dan serbaneka di seluruh negara, sebagai tidak masuk akal.

Mengulas lanjut dalam tulisannya, Abdul Hadi menyatakan, jenayah mencuri dan merompak tidak boleh dibiarkan tanpa dilaksanakan tindakan pencegahan dan diberikan hukuman yang berbeza.

Bukan hanya salah satu pihak sahaja yang dihukum kerana dianggap lebih berbahaya, sedangkan satu pihak lagi dibebaskan kerana kurang bahaya.

Bahkan, ujarnya, Islam sendiri mengharamkan perbuatan rasuah dan mencuri dengan nas yang nyata dalam al-Quran dan Hadis.

Tetapi, pada masa sama, Islam membenarkan arak bagi penganut agama lain yang menghalalkannya kerana kebebasan individu dan hak bagi diri serta kaumnya sahaja dengan syarat tidak mengganggu masyarakat sekeliling yang lain.

“Adapun rasuah diharamkan oleh semua agama tanpa sebarang pengecualian.

“Hukuman bagi perbuatan meminum arak dan rasuah dalam Islam adalah berbeza. Kesalahan meminum arak termasuk dalam jenayah hudud bagi penganut Islam sahaja, dan hukuman hudud tidak boleh dikenakan ke atas golongan bukan Islam.

“Adapun masalah rasuah termasuk dalam hukuman takzir sama ada dipenjara, sebatan, buang daerah, dirampas harta sehingga dijatuhkan hukuman bunuh kerana berbeza keadaan pelaku dan tahapnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, hukuman meminum arak juga berbeza, tetapi keduanya tetap bahaya dalam beberapa aspek, yang mana perbezaan itu tidak boleh dinisbahkan dengan timbangan kilogram atau ukuran meter.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, apabila salah satunya diharamkan secara mutlak, tidak boleh kesalahan lain diberikan lesen untuk berjalan secara mutlak.

Begitu juga apabila berlaku kebocoran tingkah laku dalam kawalan sehingga mengakibatkan kemudaratan kepada umum, boleh dibuat undang-undang tambahan melibatkan juga penganut bukan Islam.

“Contohnya, apabila mereka yang mabuk menyebabkan berlaku perlanggaran undang-undang jalan raya melibatkan kemalangan yang tidak mengira agama dan bangsa, mengganggu masyarakat awam dan mempengaruhi pihak lain dalam masyarakat.

“Keadaan ini akhirnya menghilangkan keharmonian dan keluhuran moral bermasyarakat madani, maka hukum agama dan adat hendaklah dirungkai mengikut Siyasah Syariyyah atau Maqasid Syariyyah,” katanya. – Malaysiagazette

Tiada ulasan: