Rabu, 25 November 2020

Pakar ekonomi gesa Putrajaya selamatkan PTPTN, peminjam

Geoffrey Williams berkata, peminjam PTPTN terlalu miskin untuk membayar balik 
pinjaman mereka kerana ‘gaji graduan terlalu rendah dan kadar pengangguran 
graduan terlalu tinggi’.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mencadangkan Putrajaya menyelamatkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan peminjam yang gagal membayar pinjaman mereka untuk mengelakkan krisis.

Geoffrey Williams dari Universiti HELP mendapati dana itu, selama bertahun-tahun, hanya mencapai sedikit kemajuan dalam kutipan pinjaman.

Beliau berkata, masalah kini menjadi begitu besar sehingga “krisis kewangan sistemik” mungkin berlaku jika peminjam terus gagal membayar balik pinjaman.

Katanya, satu-satunya “idea sebenar” yang PTPTN kemukakan setakat ini untuk menyelesaikan masalah itu “sangat kejam”, iaitu cadangan tahun lalu untuk melaksanakan sekatan perjalanan ke atas peminjam dan keluarga mereka.

Geoffrey Williams.

Beliau memberitahu FMT, sistem yang digunakan PTPTN untuk beroperasi tidak stabil, dengan peminjam terlalu miskin untuk membayar pinjaman mereka kerana “gaji graduan terlalu rendah dan kadar pengangguran graduan terlalu tinggi”.

“Dana itu tidak mengutip bayaran balik pinjaman mencukupi untuk membiayai dirinya atau menyediakan RM4.3 bilion yang diperlukan setiap tahun bagi memberi pinjaman baru atau mengeluarkan wang kepada pinjaman sedia ada.

“Jadi, kerajaan perlu menyelamatkannya.”

Williams berkata, membiayai hutang itu sendiri akan menelan kira-kira RM4.75 bilion setahun, termasuk subsidi langsung kerajaan sebanyak RM1.75 bilion, yang boleh disimpan dan dilaburkan semula dalam sistem itu.

Beliau mencadangkan kerajaan mencari sistem baru untuk membiayai pendidikan tinggi dan membenarkan PTPTN memberi pinjaman pada skala lebih kecil, “mungkin hanya menambah pembiayaan langsung daripada kerajaan”.

Katanya, idea meraih pulangan daripada pinjaman pelajar sudah dikaji Institut Levy di Amerika Syarikat dan menunjukkan ia mempunyai manfaat ekonomi penting.

“Kajian sama perlu dilakukan di Malaysia susulan kesan Covid-19 ke atas masalah pembayaran pinjaman secara keseluruhan.”

Jika tidak, katanya, kerajaan boleh menghapuskan tunggakan itu melalui skim “pelepasan hutang bersasar”.

Beliau berkata, terdapat 3 manfaat menggunakan skim itu:

  • Ia akan membatalkan hutang pelajar terbeban, membantu mengimbangi kewangan mereka semula dan mengagihkan dana kepada 3 juta rakyat untuk memulihkan ekonomi;
  • Ia akan menghapuskan risiko ingkar untuk portfolio pinjaman PTPTN melebihi RM50 bilion
  • Ia akan melangsaikan hutang lebih awal dan menyediakan dana untuk institusi kewangan yang boleh dilaburkan dalam pilihan menguntungkan serta “menyuntik pelaburan dalam pasaran pada saat ia sangat diperlukan”.

Tiada ulasan: