Sabtu, 28 November 2020

Polis Kelantan sedia tambah anggota kawal sempadan negara

Siti Rohana Idris

ANGGOTA dan pegawai polis daripada IPD Tumpat dan PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor yang turut sama dalam tinjauan di sepanjang perairan Sungai Golok di Pengkalan Kubor hari ini. FOTO Siti Rohana Idris

Tumpat: Polis bersedia mempertimbangkan permohonan untuk menambah jumlah keanggotaan untuk tugasan mengawal sempadan Malaysia-Thailand jika terdapat keperluan.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, keanggotaan sedia ada agak terhad bagi menjalankan tugasan terutama dengan kedatangan banjir kebelakangan ini.

Beliau berkata, dengan keadaan sempadan negara yang agak panjang iaitu membabitkan empat daerah bermula Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, jumlah keanggotaan itu dilihat tidak mencukupi kerana turut digunakan untuk tugasan lain.

"Kekuatan sedia ada untuk mengawal sempadan negara memang tak cukup kerana sempadan luas, malah anggota juga diperlukan untuk tugas lain termasuk pencegahan jenayah dan operasi ditambah pula dengan bencana alam (banjir) yang sedang berlaku kini.

"Saya akan berbincang dengan pengurusan tertinggi di Bukit Aman, mungkin akan perlukan bantuan untuk tambah anggota dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang diiringi Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud melakukan tinjauan di Sungai Golok sekitar Pengkalan Kubor dan turut singgah di beberapa kampung di situ yang hanya berjarak kira-kira 30 meter sahaja dengan Thailand.

Shafien berkata, selain penguatkuasaan, beliau juga mencadangkan agar terdapat kaedah lain untuk menambahbaik daripada segi penugasan sempadan negara termasuk kerjasama masyarakat setempat.

Mengulas mengenai isu integriti dalam kalangan anggota dan pegawai, beliau memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil jika dikesan berlaku.

"Selain kekuatan anggota dalam tugasan penguatkuasaan, sifat integriti juga perlu ada dalam diri masing-masing dan untuk perkara ini kami akan sentiasa memantau.

"Saya tidak nafikan ada segelintir (tiada integriti) yang terbabit jika membabitkan organisasi yang besar dan saya memberi amaran kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjauhi aktiviti yang boleh memberi persepsi negatif.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat berkaitan isu integriti dalam kalangan anggota atau pegawai polis, mereka boleh menyalurkan maklumat kepada saya," katanya.

Tiada ulasan: