Rabu, 25 November 2020

5 sekeluarga tinggal dalam bilik kecil di P Pinang kini diarah kuarantin

Seramai 28 penghuni dikuarantin dalam rumah kedai ini di Jalan Utama, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Seorang pengawal keselamatan dan keluarganya, yang tinggal dalam sebuah bilik kecil di atas sebuah restoran, kini diarah menjalani kuarantin Covid-19 selain masalah lain dihadapi mereka.

Paner Selvam Subramaniam, isteri dan 3 anak kecilnya antara 28 orang yang tinggal di bilik yang disewakan semula pengusaha restoran di sebuah rumah 2 tingkat di Jalan Utama, berhampiran Hospital Pulau Pinang.

Seorang daripada penyewa itu disahkan positif Covid-19 dan semua 28 orang dalam bangunan itu diarah menjalani kuarantin.

Paner, yang tidak dapat bertugas selama 2 minggu, bimbang bagaimana hendak menyara keluarganya kerana tiada orang dibenarkan keluar dari bangunan itu untuk membeli makanan.

Restoran di tingkat bawah pula ditutup dan pengusaha memaklumkan beliau tidak mampu membekalkan makanan kepada mereka setiap hari.

Kesusahan terbaru yang dihadapi keluarga itu menyusul 2 minggu selepas satu laporan FMT berhubung nasib mereka yang menyentuh hati rakyat. Kerajaan negeri berjanji akan mencari sebuah rumah untuk mereka.

Isteri Paner Selvam Subramaniam, Kogilavani Suppan, bersama 
2 anak mereka di bilik sewa mereka.

Buat masa ini, mereka tinggal dalam sebuah bilik sebesar katil bersaiz “Queen”. Semua orang dalam bangunan itu berkongsi sebuah tandas yang juga bilik mandi di luar rumah, walaupun terdapat risiko jangkitan.

Seorang penyewa rumah itu ialah abang kepada pesakit Covid-19 terbabit, seorang pekerja berumur 25 tahun di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas yang pulang dari kampung halaman di Baling, Kedah.

Penyewa utama, Ismail Mokhtar, 39, yang mengendalikan kedai itu lebih setahun lalu, berkata beliau akan kehabisan wang kerana membekalkan makanan kepada semua 28 orang dalam rumah sejak 3 hari lalu.

Katanya, sekurang-kurangnya 10kg beras diperlukan, bersama makanan protein seperti telur, sardin dan barangan lain.

Beliau merayu bantuan diberikan kepada mereka.

FMT sudah memaklumkan keadaan mereka kepada Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang berjanji akan meneliti perkara itu.

Tiada ulasan: