Khamis, 26 November 2020

Zafrul: Peruntukan Jasa akan dikurangkan

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) atau kini dijenamakan sebagai J-Kom akan dikurangkan.

Dia berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini

“Dari segi pengurangan (Belanjawan 2021), saya ada buat satu usul untuk kurangkan peruntukan yang diberikan kepada Jasa.

“Dalam peringkat jawatankuasa kita akan umumkan,” katanya.

Zafrul sebelum itu ditanya oleh Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir sama ada tambahan pada belanjawan yang diumumkan hari ini akan melibatkan pengurangan peruntukan lain.

Zafrul bagaimanapun tidak menyatakan jumlah pengurangan itu.

Pada mulanya, Belanjawan 2021 memperuntukan RM85.5 juta kepada unit khas itu.

Bagaimanapun ia mendapat kritikan hebat dari ahli parlimen kedua-dua belah pihak dan juga rakyat.

Jasa merupakan agensi kerajaan yang bersifat rahsia, berakar umbi sejak 1960-an dan asalnya dikenali sebagai Cawangan Hal Ehwal Khas (Chek) di bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Berdasarkan senarai jawatan kerajaan 2019, Jasa mempunyai 229 kakitangan sepenuh masa di seluruh negara sebelum dibubarkan pada kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Jan 2020.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KMMM) Saifuddin Abdullah turut memberi jaminan bahawa peruntukan bagi unit itu akan dikurangkan.

Sementara itu, Zafrul juga berkata, kementeriannya bersetuju untuk menambah baik program e-Belia, antaranya dengan menaikkan jumlah kredit RM50 ke RM100 secara one-off ke dalam akaun e-wallet mahasiswa.

Inisiatif tersebut juga akan diperluaskan buat semua 1.1 juta pelajar melebihi umur 20 tahun dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

“Insiatif ini akan disalurkan kepada 1.1 juta pelajar dari IPTA dan IPTS termasuk yang umur melebihi 20 tahun,” katanya lagi.

Pada awalnya, kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi program e-Belia.

Melalui program tersebut, kerajaan akan mengkreditkan RM50 secara one-off ke dalam akaun e-wallet bagi mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun.

Tiada ulasan: