BUKIT KAYU HITAM: "Saya langsung tidak kecewa (terkena tembakan), tapi berasa sangat geram!," luah Lans Koperal Muhammad Amirul Amir, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang cedera terkena tembakan ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini petang semalam.
Anggota berusia 26 tahun berasal dari Kota Tinggi, Johor, yang cedera ringan di bahagian perut akibat terkena peluru bebola besi itu, berkata ketika kejadian dia langsung tidak berasa panik, sebaliknya segera ke pos kawalan terdekat untuk mendapatkan bantuan.
"Sebelum kejadian saya sedang melakukan rondaan dengan motosikal, tiba-tiba rasa pedih di perut, mula tu saya ingat kena sengat serangga berbisa.
"Tapi bila selak jaket kalis peluru, ada peluru bebola besi terselit dan spontan saya berpaling ke arah sempadan negara jiran dan nampak kelibat seorang individu berpakaian gelap," katanya ketika ditemui di pos kawalan sempadan, M16 di sini, hari ini.
Selepas mendapatkan bantuan rakan sepasukan dan kembali ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari pos kawalan itu, kelibat individu berkenaan sudah tidak kelihatan.
"Masa tu rasa geram sungguh sebab dia buat macam tu dari dalam negara dia, kalau dia masuk ke negara kita, ada la tindakan boleh ambil," katanya yang telah berkhidmat sebagai anggota PGA hampir lapan tahun.
Muhammad Amirul berkata, kejadian yang menimpanya itu langsung tidak melemahkan semangatnya untuk menjaga keselamatan negara dan terus menyambung tugas di pos kawalan tersebut seperti biasa.
"Semangat rasa lebih kuat lagi dan kawan-kawan pun banyak bagi sokongan dan nasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak sesekali terleka atau cuai ketika bertugas," katanya.
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu, berkata tugas sebagai anggota keselamatan akan terus digalas dengan bangga dan akan sentiasa memastikan tahap kesiapsiagaannya berada pada tahap optimum.
Dalam kejadian pada 6.15 petang semalam, Muhammad Amirul mengalami kecederaan ringan di bahagian perut selepas terkena tembakan senapang angin yang dilepaskan dari kawasan negara jiran.
Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan suspek yang melepaskan tembakan itu adalah penyeludup memandangkan lokasi kejadian adalah antara laluan kegiatan jenayah itu.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan