Jumaat, 27 November 2020

Pendakwah selebriti direman lima hari

SHAH ALAM: Pendakwah selebriti yang didakwa merogol seorang wanita pada September tahun lalu, direman lima hari mulai hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 25 tahun yang juga bekas peserta rancangan realiti televisyen berbentuk keagamaan itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd Zamir Suhaimee.

Terdahulu, suspek memakai baju berwarna hijau itu hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam, jam 9.45 pagi dan diwakili peguam, Syed Amirul Syed Edrus.

Suspek ditahan kira-kira jam 11 malam tadi, selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada jam 7.18 malam tadi.

"Difahamkan, mangsa berusia 23 tahun keluar dengan suspek yang dikenali menerusi media sosial, Instagram pada jam 8 malam, pada 11 September tahun lalu.

"Mangsa menaiki kereta milik suspek jenis BMW untuk membuat perbincangan berkenaan masalah kemurungan yang di hadapi dengan kaedah perubatan Islam.

"Suspek seterusnya membawa mangsa makan di kedai makan di kawasan Batu 3 dan kemudian membawanya mangsa ke rumahnya di sebuah studio di Seksyen 7, di sini dengan alasan untuk memberi penerangan berhubung bagaimana hendak pulih daripada penyakit kemurungan," katanya.

Beliau berkata, ketika berada di rumah berkenaan, mangsa dirogol dan tidak terdaya hendak melawan selain mangsa juga tidak tahu cara keluar dari tempat terbabit.

Katanya, suspek kemudian memberi amaran kepada mangsa untuk merahsiakan perkara itu serta memaklumkan mangsa akan dipantau daripada jauh.

Baharudin berkata, ekoran kejadian itu mangsa mengalami tekanan perasaan yang teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri.

Tiada ulasan: