Ahad, 29 November 2020

Orang Asli K'tan bina bangsal jadikan pusat perpindahan banjir

Seramai 500 penduduk Orang Asli Batik di Kampung Pasir Linggi, di sini, mengambil inisiatif membina bangsal sebagai 'pusat perpindahan sementara' mereka, apabila berlakunya banjir.

Komuniti tersebut mula membina sebanyak 50 bangsal sejak empat hari lalu, di kawasan atas bukit kira-kira satu kilometer dari kampung berkenaan.

Tok Batin Kampung Pasir Linggi Mohd Azman Talib berkata, penduduk bersepakat membina bangsal itu apabila berasa bimbang tentang kenaikan air sungai yang sudah melimpahi tebing berulang kali, selain cuaca hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas.

“Persiapan tempat perpindahan atas bukit ini dilakukan pada musim tengkujuh setiap akhir tahun, selain mengambil iktibar peristiwa Bah Kuning pada Disember 2014.

“Selepas kejadian banjir besar itu, penduduk mula mengambil ingatan dengan membina bangsal perpindahan lebih awal untuk selamatkan ahli keluarga,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Penghulu Kampung Pasir Linggi Nasir Ismail pula berkata, walaupun terdapat satu pusat perpindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi berdekatan kampung berkenaan, namun sukar bagi penduduk kampung untuk berpindah ke PPS itu.

“Sememangnya ada PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, tetapi kerana ia terletak di tempat rendah maka ia mudah dinaiki air dan penduduk kampung juga terpaksa meredah banjir untuk berpindah ke bangunan sekolah berkenaan.

“Jadi, pilihan yang sesuai dan selamat adalah lebih baik penduduk berusaha sendiri membina bangsal atas bukit dan perjalanan juga tidak jauh daripada kediaman asal mereka,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: