Isnin, 30 November 2020

DPPM desak portal berbahasa Inggeris mohon maaf kepada umat Islam

peneranganpas
Nadzir Helmi

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) meminta sebuah portal berbahasa Inggeris yang beribupejabat di ibu kota di sini, memohon maaf dalam tempoh 24 jam kepada orang ramai terutama umat Islam.

Ini berikutan portal berkenaan menyiarkan pelaporan yang salah terhadap Islam berhubung artikel berkaitan kejadian penemuan mayat bayi di depan pintu masjid di Sungai Way, Petaling Jaya seminggu lalu.

Jelas Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi, pelaporan artikel itu menggambarkan seolah imam masjid berkenaan sebagai pelaku kepada perbuatan jenayah itu.

Selain itu, portal berkenaan juga meletakkan gambar anak kecil bertelekung sedang bermain ‘masak-masak’ dengan tajuk “Perkahwinan di awal usia di Sabah”.

“Buat kali kedua dalam pemantauan kami, Dewan Pemuda Pas menunjukkan akhbar atau portal berbahasa Inggeris ini sedang cuba menanam sentimen Islamphobia di kalangan rakyat Malaysia.

“Mereka sengaja mempamerkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap ulasan artikelnya dengan pelaporan yang jelas salah terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nadzir, akhbar dan portal berkenaan wajar menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia atas pelaporan yang salah terhadap agama Islam.

Beliau memberi contoh, isu mayat seorang bayi yang diletakkan di depan pintu masjid, media berkenaan menggambarkan pelaku adalah seorang imam, sedangkan laporan tersebut ternyata salah.

“Media ini juga membesarkan artikel perkahwinan di awal usia di Sabah yang memberi gambaran seolah perbuatan itu dilakukan hanya kepada umat Islam.

“Sedangkan mengikut statistik, perbuatan ini lebih banyak berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi media ini hanya mengambarkan perbuatan ini adalah ‘tabiat’ umat Islam semata-mata,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: