Oleh ALIF FADLI
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak popular, Bob Lokman perlu mengumpul RM60,000 bagi menjalani pembedahan jantung atau dia berdepan risiko ‘sudden death’.
Bob atau nama sebenarnya, Mohd. Hakim Lokman, 56, berkata, jantungnya semakin lemah sehingga terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Rabu lalu dan menerima rawatan Automated External Defibrillator (AED).
Penulis lirik Isabella itu yang mula menghidap sakit jatung sejak 2008 itu berkata, dia tidak boleh memandu kereta atau melakukan apa apa aktiviti yang boleh menyebabkan jantungnya berdenyut laju sehingga boleh berhenti.
“Doktor memberitahu jantung saya sudah ‘berparut’ akibat luka-luka setelah denyutan terlalu laju. Doktor perlu memasukan satu alat untuk mengawal denyutan jantung. Kalau tidak, saya boleh meninggal pada bila-bila masa atau sudden death.
“Buat masa sekarang, saya masih berada di rumah kerana doktor sedang kuarantin. Selepas ini, baru saya akan ke hospital bagi membincangkan prosedur lanjut,” katanya.
Bob berkata demikian ketika dihubungi berhubung poster bantuan kos operasi pembedahan jantung yang dimuat naik di media sosialnya hari ini.
Dalam pada itu, penulis lirik Isabella itu berkata, setakat hari ini, ramai penggiat seni termasuk persatuan menghubungi beliau bagi menyalurkan bantuan.
“Setakat ini ramai juga yang sudah menghubungi dan memberi bantuan. Dalam tempoh satu hari, saya sudah berjaya mengumpul RM5,000. Insya-Allah, bila hari pembedahan tiba (sebulan dari sekarang), duit mencukupi.
“Terima kasih kepada semua yang telah memberi bantuan. Kalau tidak dari segi duit, cukuplah doakan saya. Ingatan anda semua itu sudah mencukupi,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan