KUALA LUMPUR: Sindiket ah long dikesan merekrut orang awam dijadikan penyimbah cat dengan upah sebanyak RM300 di sekitar Gombak.
Difahamkan, tawaran yang diiklankan melalui laman sosial terbongkar tiga lelaki berusia 20 hingga 25 tahun dipercayai melakukan kegiatan itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan selepas kehadiran mereka disedari orang awam dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bukit Permata, Selayang dekat sini pada Isnin lalu.
Katanya, hasil siasatan terhadap tiga suspek itu mendapati mereka ditawarkan upah RM300 untuk menyimbah cat di rumah dan kenderaan yang diarahkan ‘majikan’.
“Suspek mendakwa tidak tahu tujuan mereka menyimbah cat itu. Mereka hanya memberi gambar kepada seorang lelaki dikenali sebagai Kelvin sebaik sahaja selesai kerja dan dibayar upah.
“Kita turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba dan tong serta botol berisi cat merah dalam dua kenderaan dinaiki tiga suspek terbabit,” katanya di sini hari ini.
Menurut Arifai, semakan mendapati sebanyak enam laporan kejadian simbah cat diterima pihaknya sejak awal tahun ini yang dipercayai dilakukan suspek sama.
Jelasnya, atas maklumat suspek, polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki dikenali Kelvin di rumah sewanya di Kajang pada hari sama.
“Hasil siasatan awal, Kelvin dipercayai bertindak sebagai orang tengah kepada sindiket along.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan