DUNGUN: Seorang wanita sarat mengandung sembilan bulan terpaksa meredah banjir separas pinggang selepas kediamannya di Kampung Tok Kah di sini dinaiki air pagi semalam.
Nurul Asyikin Mamat, 24, yang sarat mengandung anak sulung mengharungi air sejauh kira-kira 500 meter dengan ditemani ibu mertuanya, Sabariah Awang, 47, sebelum menunggang motosikal kira-kira dua kilometer untuk ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya berseorangan di rumah ketika banjir berlaku kerana suami keluar bekerja, mujurlah ibu mertua dan beberapa ahli keluarga lain tinggal bersebelahan.
“Mula-mula memang cemas kerana tidak pernah meredah banjir sebelum ini dan dalam masa sama saya takut jika terjumpa haiwan berbisa,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah hari ini.
Menurut Nurul Asyikin, sepanjang meredah banjir itu dia terpaksa berhenti beberapa kali kerana kepenatan.
“Saya hanya menunggu masa untuk bersalin dan kalau masih tinggal di rumah dalam keadaan banjir yang masih belum reda, agak bahaya kalau berlaku apa-apa,” katanya.
Bagi ibu kepada tiga anak berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun, Sahira Rosman, 24, pula berkata, pengalaman banjir kali ini merupakan yang ketiga dilaluinya dan keluarga.
“Semasa anak sulung berusia empat bulan dan anak kedua berusia setahun saya sudah berdepan dengan banjir dengan kini giliran anak ketiga yang berusia enam bulan pula.
“Pengalaman itu menjadikan saya lebih bersedia dalam membawa kelengkapan yang diperlukan untuk keselesaan anak-anak seperti buaian,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas sanggup mengambil risiko mengharungi banjir pada paras pinggang sejauh 500 meter untuk menyelamatkan diri bersama cucunya selepas rumah mereka di Kampung Kubang Putat, Seberang Pintasan di sini turut dinaiki air malam semalam.
Selamah@Zaharah Mohamad, 72, hanya menyedari rumahnya dinaiki air selepas terjaga dari tidur kira-kira pukul 10 malam.
“Semalam saya tidur awal sebab hujan lebat dan terkejut tengok air naik di bahagian dapur hingga menenggelamkan barang-barang.
“Saya segera minta cucu, Rozuhaimi Jusoh, 34, mengemaskan barang dan kemudian kami mengharung air separas pinggang sejauh 500 meter sebelum menaiki kereta orang kampung untuk ke PPS,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Sivik Kampung Seberang Pintasan semalam. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan