Isnin, 30 November 2020

Tragedi di Bangsar: Persatuan penduduk mohon CCTV sejak 5 tahun dulu

Malaysiakini

Kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, Bangsar, sehingga menyebabkan kematian bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Wan Hassan Wan Embong mungkin dapat dielakkan sekiranya kawasan di situ dilengkapi dengan sistem pengawalan keselamatan dan kamera litar tertutup (CCTV), kata persatuan penduduk setempat.

Penasihat Persatuan Penduduk Bukit Bandaraya (BBRA) M Ali memberitahu Malaysiakini penceroboh memasuki banglo mangsa dari belakang dengan menyelinap melalui longkang di sepanjang jalan di antara Jalan Mambu dan Jalan Tualang.

Banglo mangsa terletak di Jalan Mambu. Wan Hassan, 71 tahun, dibunuh di kediamannya selepas perompak tersebut memecah masuk sekitar jam 3 pagi pada 29 Nov.

Dalam kejadian tersebut isteri Wan Hassan terselamat tetapi mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Kedua-dua perompak itu telah melarikan diri dengan beberapa barang peribadi pasangan terbabit sebelum polis berjaya menahan 10 individu, termasuk suspek utama dalam masa kurang dari 48 jam selepas kejadian.

Menurut M Ali, jalan utama di Jalan Mambu dilengkapi dengan ciri kawalan keselamatan tetapi tidak di Jalan Tualang tidak.

Akibatnya, kawasan itu terdedah kepada pecah masuk memandangkan kedua-dua jalan tersebut bersilang di lorong belakang.

Lihat secara positif

Lima tahun lalu, BBRA memohon kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyediakan sistem pengawalan keselamatan di sepanjang Jalan Tualang dan pemasangan CCTV di kawasan tersebut tetapi tidak berhasil.

"Sejak lima tahun yang lalu, persatuan penduduk telah memohon dan meminta DBKL beberapa kali agar adakan sistem pengawalan keselamatan di Jalan Tualang, kerana dengan itu bukan saja Jalan Tualang akan dilindungi, tetapi juga di jalan belakang antara Jalan Tualang dan Jalan Mambu juga sebagai langkah pencegahan.

"Bagaimanapun, usaha kami tidak diendahkan oleh kakitangan DBKL ketika itu bahkan permohonan kami kepada untuk pemasangan CCTV di lokasi-lokasi strategik belum menampakkan hasil yang positif," kata M Ali.

Dia berkata, penduduk di sekitar kawasan tersebut bimbang dan terganggu selepas kes rompakan itu.

M Ali menyuarakan kekecewaannya kepada pihak berkuasa dan menekankan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Dalam Negeri perlu mendengar suara penduduk.

"Mereka harus melihat usaha yang dilakukan oleh penduduk dengan semangat positif dan bukannya melihatnya dengan birokrasi dan kemudian hanya bertindak setelah perkara yang tidak diingini terjadi.

"Kami kehilangan seorang penduduk di kawasan kami. DBKL dan pihak berkuasa yang berkaitan mesti proaktif setiap masa apabila ia melibatkan isu keselamatan,” katanya.

BBRA telah memohon kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Ngah untuk mengadakan pertemuan dan memberikan persetujuan yang diperlukan untuk memperkenalkan sistem pengawalan keselamatan di situ.

Malaysiakini telah menghubungi Mahadi dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk mendapatkan penjelasan.

Sementara itu Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Park, Nitesh Malani, berkata anggotanya juga terkejut dengan kejadian yang berlaku berhampiran kawasan kejiranan tersebut.

Dia juga telah meminta DBKL memasang CCTV di kawasan perumahan.

"DBKL mesti menyediakan peruntukan agar CCTV dipasang di kawasan perumahan; meluluskan skim kawalan keselamatan secara berpagar yang bersesuaian; dan kerap berkomunikasi dengan persatuan penduduk," katanya.

M Ali dan Nitesh turut mendesak Kementerian Wilayah Persekutuan memperkenalkan semula program Bandar Selamat yang dianggap berkesan mencegah jenayah sebelum ini.

Tiada ulasan: