Ahad, 29 November 2020

Pesara kerajaan mati ditetak, isteri cedera disamun

pesara-kerajaan-mati-ditetak-isteri-cedera
Pesara kerajaan mati ditetak manakala isterinya turut dicederakan oleh penyamun dalam kejadian di Bukit Bandaraya, ibu negara awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pesara kerajaan mati ditetak parang awal pagi ini ketika bergelut dengan dua individu yang memecah masuk rumahnya di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini untuk menyamun.

Ketua polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, anggota polis, Mohamad Azwan Musa di Pusat Kawalan Brickfields telah menerima paggilan pada jam 4 pagi daripada seorang wanita yang memaklumkan rumah ibunya telah dipecah masuk dan bapanya telah ditetak oleh dua lelaki.

“Pantai Control Centre telah mengarahkan Sektor 12 untuk pergi ke lokasi kejadian, dan telah dimaklumkan mangsa mati di lokasi kejadian.

“Mangsa dikenalpasti sebagai Wan Hassan Wan Embong seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun merupakan pesara kerajaan dan polis menemui kecederaan di muka dan leher mangsa.

samun-berparang
Kedua-dua suspek penyamun bersenjatakan parang memasuki sebuah banglo menerusi pintu dapur pada jam 3.30 pagi tadi. Foto Ihsan polis IPD Brickfields

“Manakala isterinya juga pesara guru kerajaan berusia 70 tahun turut ditetak di bahu kanan oleh penyamun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar memberitahu, menurut isteri mangsa, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi apabila suaminya terdengar bunyi bising di bahagian dapur.

Tambah beliau, mangsa terserempak dengan dua lelaki bersenjatakan parang yang mengugut supaya menyerahkan duit.

“Mangsa kemudian cuba melawan dan seterusnya telah ditetak. Isteri mangsa turut ditetak dengan parang di bahagian bahu kanan semasa kejadian oleh penyamun.

“Saspek kemudian mengambil barang-barang berharga (belum dapat dipastikan jenis dan nilainya) seterusnya melarikan diri mengikut tingkap dapur.

“Pihak forensik, kesihatan dan anjing pengesan Unit K9 telah dimaklumkan dan hadir di tempat kejadian untuk mendapatkan barang bukti dan kesan cap jari untuk mengesan suspek serta siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut forensik di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai diserang dengan menggunakan objek tajam berdasarkan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan mangsa.

Malah katanya,mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan mayat telah dibawa untuk proses bedah siasat.

Menurutnya lagi,kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tegas beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan pemburuan suspek telah dipergiatkan oleh polis untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau saksi boleh menghubungi IPD Brickfields di talian 03-22979222 untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan polis,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: