Jumaat, 27 November 2020

6 jam tunggu giliran jalani ujian saringan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
LEBIH 5,000 pekerja sebuah kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang hadir untuk menjalani ujian saringan selepas diberi notis pendek lewat pagi tadi. - FOTO/AMIR IRSYAD OMAR

GEORGETOWN: Pekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini terpaksa beratur panjang hampir enam jam untuk menunggu giliran bagi menjalani ujian saringan pandemik Covid-19 sejak pukul 10 pagi tadi.

Difahamkan, ujian saringan yang dijalankan syarikat kesihatan persendirian berdaftar itu membabitkan lebih 5,000 pekerja dan operator kilang pengeluaran produk elektronik berkenaan.

Ini berikutan terdapat laporan kes positif pandemik itu melibatkan pekerja kilang berkenaan baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di pekarangan kilang terbabit semalam mendapati berlaku kesesakan di hadapan kilang sehingga rata-rata mereka mengeluh disebabkan terpaksa menunggu giliran lebih lama selain ada yang dikatakan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

Seorang operator yang hanya mahu dikenali sebagai Aina, 20-an, berkata, dia terpaksa menunggu lebih lima jam sejak pagi selepas diarah majikan hadir menjalani ujian saringan Covid-19 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dakwanya, ribuan pekerja datang seawal pukul 7 pagi dan keadaan menjadi sesak dengan ramai pekerja sehingga ada dalam kalangan mereka gagal mematuhi prosedur standard operasi (SOP).

“Saya terkejut sebaik sahaja sampai di pekarangan kilang pagi tadi dan memilih menunggu di luar bagi mengelak keadaan yang terlalu sesak.

“Sehingga kini kami tidak diberi maklumat yang jelas berkaitan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja kilang ini,” katanya yang sudah bekerja hampir lima tahun di situ.

Setakat semalam, terdapat 14 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri ini dengan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 1,809 kes. – UTUSAN

Tiada ulasan: