KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sekumpulan lelaki yang memukul seorang anggotanya di dalam pergaduhan di pusat hiburan di Jalan Puchong, 25 November lalu dipercayai ahli kongsi gelap dikenali sebagai Geng 18 Batu 14 Puchong.
Malah, seorang ‘Datuk’ yang ditahan bersama 18 individu dalam kejadian itu juga hanya menggunakan gelaran tersebut sebagai panggilan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada mulanya, pihaknya menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam.
Katanya, serbuan itu susulan pengadu memaklumkan sekumpulan lelaki melakukan kekecohan dalam premis pusat hiburan itu dengan bergaduh dan memecahkan barang.
“Kejadian berpunca kerana penjaga premis itu tidak membenarkan mereka masuk ke dalam pusat hiburan itu. Pergaduhan ini membabitkan 15 lelaki dan empat pelanggan, termasuk anggota polis terlibat.
“Kita kemudiannya melakukan tangkapan terhadap kesemua 19 individu, termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ dan anggota polis itu bagi membantu siasatan,” katanya di sini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Geng 18 Batu 14 Puchong itu yang dikatakan menjalankan kes peras ugut selain meminta bayaran wang perlindungan kepada pusat hiburan terbabit.
“Kita akan ambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika perlu.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan