Jumaat, 27 November 2020

Kota Bharu kini Zon Merah, kes Covid-19 meningkat di Kelantan

 Oleh ZAAIN ZIN

KOTA BHARU: Daerah Kota Bharu yang sebelum ini zon hijau, menjadi kawasan terbaharu yang dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatatkan 46 kes aktif Covid-19 setakat 12 tengah hari ini.

Sementara itu, dua daerah iaitu Machang dan Tanah Merah dikategorikan sebagai zon jingga apabila masing-masing merekodkan 39 kes dan 24 kes aktif Covid-19.

Infografik yang dipaparkan di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menunjukkan negeri ini hari ini merekodkan sebanyak 28 kes baharu.

Kawasan Kusial di Tanah Merah mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu tujuh kes, diikuti Kemumin, Kota Bharu (6 kes); Ulu Sat, Machang (4 kes) dan Badang, Kota Bharu (2 kes).

Kawasan Ulu Kusial dan Jedok di Tanah Merah; Pangkal Meleret, Machang; Kota, Kubang Kerian, Panji, Limbat dan Banggu di Kota Bharu serta Tawang di Bachok masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Kes-kes baharu itu menyebabkan kes terkumpul di negeri ini meningkat kepada 330 kes, dengan 130 daripadanya merupakan kes yang masih aktif.

Sementara itu, sebanyak tiga kes positif Covid-19 dilaporkan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun tiada kes kematian baharu direkodkan.

Kes Covid-19 melibatkan kematian di negeri ini kekal sebanyak tiga kes. – UTUSAN

Tiada ulasan: