KUALA LUMPUR – Imej dan integriti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) hanya boleh dipulihkan sekiranya para pegawai atasannya bersih dan bebas daripada sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebenarnya PDRM mempunyai peraturan ketat dan pemantauan tegas ke atas setiap pegawai dan anggotanya, apatah lagi mengamalkan gaya hidup mewah.
“Semua penjawat awam mempunyai tata disiplin untuk mencegah dari penyelewengan. Jika pegawai atasan bersih dan tegas akan dapat memulihkan keadaan dan kembalikan kepercayaan masyarakat.
“PDRM mempunyai peraturan disiplin yang ketat termasuk memohon kebenaran untuk membeli harta dan mengistihar harta yang dimiliki.
“Perintah dan kawalan pegawai dan anggota telah sedia ada, perlu diimplementasikan dengan pemantauan yang tegas,” ciapnya dalam hantaran terbaru di Twitter miliknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya semalam bahawa pihaknya sedang memantau rapi trend gaya hidup mewah segelintir pegawai dan anggotanya untuk mengekang salah laku demi menjaga intergriti PDRM.
Difahamkan, terdapat segelintir pegawai dan anggota polis yang mampu berkereta mewah dan sering ke luar negara untuk bermain golf walaupun tidak setara dengan jawatan dan gaji bulanan yang diperoleh.
Menurut Zamri, pihaknya turut mengesan ada pegawai yang hanya berpangkat Inspektor, namun mampu membeli kereta serta memiliki rumah mewah yang diragukan sumber perolehannya.
Sehubungan itu, katanya anggota dan pegawai yang telah dikenal pasti itu akan diminta memberi penjelasan tentang sumber kewangan diperoleh bagi membiayai cara hidup mewah itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: Segelintir pegawai polis dikesan amal gaya hidup mewah, lebihi kemampuan – Bukit Aman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan