Butterworth: Enam sungai utama di Seberang Perai Utara berada pada paras tinggi namun tidak berbahaya, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh.
Menurutnya, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras Sungai Perai; Sungai Kereh; Sungai Lubuk Meriam; Sungai Jarak; Sungai Kulim dan Sungai Tok Tongkat tinggi setakat 10 pagi.
"Pemantauan turut dijalankan di 10 sungai lain iaitu Sungai Lahar Tiang; Sungai Burung Bakau Tua; Sungai Lahar Endin; Sungai Mak Mandin; Sungai Maklom; Sungai Alor Merah; Sungai Lokan; Sungai Pengkalan Machang; Sungai Merbau Kudung dan Sungai Tok Sani.
"Namun masing-masing berada pada paras sederhana," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.Phee berkata, kenaikan paras sungai disumbang aliran air dari Kedah yang masih tinggi, malah kadar surut banjir juga perlahan.
"Namun risiko banjir di kawasan Seberang Perai masih rendah," katanya yang memberitahu masih ada 16 orang daripada lima keluarga menetap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya di Tasek Gelugor.
Manakala, dua PPS di Seberang Perai Tengah sudah ditutup semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan