Bernama
Rina
berkata mulai bulan ini, KPWKM turut mengadakan program 'Zero to
Million' untuk membimbing golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang
ingin memulakan perniagaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
menjangkakan permohonan bantuan kebajikan meningkat sebanyak tiga kali
ganda kepada 1.5 juta susulan penetapan baharu had Pendapatan Garis
Kemiskinan (PGK) nasional sejak Julai lepas.
Menterinya,
Datuk Seri Rina Harun berkata pada masa ini, had PGK nasional baharu
adalah RM2,208 berbanding RM980 yang telah diguna pakai sejak tahun
2005.
Beliau
berkata penetapan had itu berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut
metodologi pada 2019 yang melihat kepada realiti rakyat pada masa kini.
"Kadar
kemiskinan negara meningkat kepada 5.6 peratus, inilah realiti rakyat
kita sekarang. Kita (kerajaan) ambil kira dari segi aspek kehidupan dan
pemakanan mereka (rakyat), memang saya (kementerian) menjangkakan lebih
ramai lagi yang layak untuk memohon di bawah program-program bantuan
kementerian.
"Setakat
ini, hampir 400,000 penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat, itu diambil kira daripada garis PGK RM980 sebelum ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam
rancangan 'Temu Minda: Kebajikan Rakyat Dalam Cabaran COVID-19' yang
disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Kementerian Komunikasi
dan Multimedia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin
Abdullah menjadi hos rancangan itu.
Sementara
itu, Rina berkata dalam tempoh pandemik COVID-19 kini, ramai yang
terjejas dari segi pendapatan, justeru KPWKM menyediakan kursus secara
dalam talian untuk membantu rakyat yang ingin menjana pendapatan melalui
perniagaan.
"Alhamdulillah...apabila
mereka ubah cara perniagaan daripada konvensional atau biasa kepada
dalam talian menampakkan perubahan, sekarang ramai yang duduk di rumah,
jadi membeli di hujung jari, ini mendatangkan pendapatan kepada mereka
(peniaga dalam talian)," katanya.
Rina
berkata mulai bulan ini, KPWKM turut mengadakan program 'Zero to
Million' untuk membimbing golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang
ingin memulakan perniagaan.
"Kementerian
mengambil inisiatif ini untuk membantu dan menjangkakan 100,000 wanita
akan menyertainya (program Zero to Million)," katanya.
Sementara
itu, Pakar Pengurusan Pelaburan dan Kewangan Dalam Pembangunan Wanita
Datuk Jamelah Jamaluddin mencadangkan agar diwujudkan Bank Pembangunan
Wanita bagi membantu golongan berkenaan memulakan perniagaan.
"Justeru,
KPWKM memainkan peranan penting untuk memberi bimbingan dan latihan
kepada kaum wanita yang mahu berniaga agar mereka tidak teragak-agak
membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan