Bernama
Menteri
Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sektor aeroangkasa di
negeri itu kini berdepan cabaran getir dan pihaknya memerlukan sokongan
Kerajaan Persekutuan untuk
memastikan kelangsungan industri berkenaan.
-Gambar fail
SHAH ALAM:
Kerajaan Negeri Selangor berharap sektor aeroangkasa, infrastruktur
jalur lebar dan pembinaan hospital baharu menjadi antara tumpuan
Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada Jumaat ini.
Menteri
Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata sektor aeroangkasa di
negeri itu kini berdepan cabaran getir dan pihaknya memerlukan sokongan
Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kelangsungan industri berkenaan.
"Pada
masa ini, hanya sekitar 10,000 kapal terbang sahaja yang bergerak di
seluruh dunia berbanding kira-kira 25,000 sebelum penularan pandemik
COVID-19. Ini menunjukkan hampir 60 peratus sektor berkenaan berdepan
masalah besar.
"Negara Eropah dan Amerika
Syarikat juga memperkukuhkan sektor tersebut bagi memastikan
kelangsungannya kerana permintaan terhadap industri itu pastinya lebih
besar selepas pandemik COVID-19 pulih," katanya kepada pemberita di lobi
Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Beliau
berkata pembangunan infrastruktur jalur lebar di Selangor juga dilihat
perlu diberi pertimbangan dalam pembentangan belanjawan itu kerana
ketika ini, capaian jalur lebar di negeri berkenaan adalah pada kadar 60
hingga 70 peratus.
Amirudin berkata
mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pembangunan Negeri Selangor sebelum ini
menyasarkan infrastruktur jalur lebar siap menjelang 2022 namun jika ia
dilengkapkan lebih awal, segala projek berkaitan dalam mencapai aspirasi
menjadi negeri pintar dapat dilaksanakan.
"Kerajaan
negeri juga berharap kemudahan awam seperti hospital baharu dapat
dibina di lokasi berkepadatan penduduk yang tinggi di Selangor. Hospital
Tengku Ampuan Rahimah contohnya, mengalami kesesakan pesakit yang
kritikal.
"Apatah lagi ketika ini
Hospital Sungai Buloh sudah dijadikan hospital COVID-19 menyebabkan
pesakit lain terpaksa dihantar ke hospital berdekatan.
"Disebabkan
itu, Selangor amat memerlukan hospital yang berkemampuan (menampung
jumlah pesakit) dengan kepakaran yang tinggi," katanya.
Justeru,
beliau berkata kerajaan negeri berharap cadangan pembinaan hospital
baharu dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2021 kerana sebidang tanah
berkeluasan 20 hektar di Meru, Klang sudah disediakan untuk tujuan itu.
Pada
masa sama, Amirudin berkata pihaknya turut mengharapkan keterbukaan
Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan lebih dana kepada Selangor
melalui belanjawan itu untuk dimanfaatkan sebaiknya memandangkan 24.5
peratus Keluaran Dalam Negara Kasar peringkat nasional adalah
disumbangkan negeri tersebut.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan