Selasa, 10 November 2020

KWSP perhalusi, tambah baik pengeluaran Akaun 1

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima semua pandangan dan input berkenaan pengeluaran Akaun 1 - Foto BERNAMA
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima semua pandangan dan input berkenaan pengeluaran Akaun 1 - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang memperhalusi dan menambah baik kemudahan pengeluaran tambahan seperti yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat lalu.

Dana persaraan itu dalam kenyataannya hari ini berkata, semua pandangan dan input dari pelbagai pihak berkepentingan sedang dalam proses pertimbangan.

"Kemudahan ini perlu dibuat berdasarkan satu perincian secara teliti bagi mengimbangi keperluan ahli menangani cabaran semasa dan memastikan simpanan persaraan untuk kesejahteraan masa hadapan.

"Perincian dan syarat kemudahan pengeluaran tambahan ini akan dibuat pada masa terdekat selepas keputusan akhir dimuktamadkan," kata kenyataan itu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi wawancara khas yang disiarkan TV3 kelmarin, berkata beliau sudah meminta KWSP untuk memperhalusi cadangan pengeluaran daripada Akaun 1.

Katanya, ia dibuat selepas mendengar keluhan dan rintihan rakyat selepas kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2021 bahawa hanya pengeluaran bersasar diberikan untuk Akaun 1.

Tengku Zafrul turut berkongsi data kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan pencarum KWSP memiliki purata baki simpanan bawah RM5,000.

Permintaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sebelum ini timbul selepas terdapat cadangan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang dengan mengehadkan pengeluaran secara sekali keluar atau 'one-off' sehingga RM10,000 daripada akaun berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini turut meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang simpanan daripada Akaun Satu oleh pencarum KWSP sekurang-kurangnya RM5,000 atau maksimum RM10,000 secara sekali gus.

Semasa pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul telah mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan untuk meringankan beban kewangan ahli-ahli yang terjejas.

Sebelum ini, KWSP telahpun memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama tempoh 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000.

Skim itu telah memanfaatkan kira-kira 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

Tiada ulasan: