Sabtu, 21 November 2020

Kereta 'auto-lock', kanak-kanak terperangkap setengah jam dalam kereta

Dewi Nur Harasha Alias
Kereta 'auto-lock', kanak-kanak terperangkap setengah jam dalam kereta
Kanak-kanak tersebut diletakkan oleh ibunya ke dalam kereta sebelum ia 
terkunci secara 'auto lock'. - Foto/JBPM
 
NIBONG TEBAL: Seorang ibu berdepan detik cemas apabila anak lelakinya berusia setahun empat bulan terkunci lebih 30 minit di dalam kereta, di rumah mereka di Taman Widuri, Sungai Jawi petang Jumaat.
 
Menurut Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Mohd Awis Kharni Abdul Rahman, kejadian berlaku pada jam 4.58 petang ketika mereka dipercayai hendak keluar dari rumah.
 
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki berada di dalam sebuah kereta Proton Saga di sebuah rumah di taman tersebut.
 
"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan baik namun sedikit ketakutan. Menurut ibunya, kanak-kanak itu terperangkap di dalam kereta tersebut sejak setengah jam lalu.
 
"Kita terpaksa memecahkan cermin belakang kereta berkenaan untuk mengeluarkan mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Mohd Awis Kharni berkata siasatan awal mendapati, kanak-kanak tersebut diletakkan oleh ibunya ke dalam kereta sebelum ia terkunci secara 'auto-lock'.
 
"Difahamkan, sebelum kejadian, mereka sekeluarga ingin keluar berjalan-jalan. Ibu kanak-kanak tersebut meletaknya terlebih dahulu ke dalam kereta namun kereta itu terkunci secara 'auto-lock'.
 
"Kereta tersebut 'auto-lock' nya terlalu cepat menyebabkan kanak-kanak tersebut terperangkap di dalamnya. Ibu mangsa terus menghubungi bomba untuk bantuan'," katanya.

Tiada ulasan: