Sabtu, 21 November 2020

Kluster Mengketil di Kelantan merisaukan

Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI
NOOR HISHAM ABDULLAH

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan melahirkan kebimbangan terhadap Kluster Mengketil di Kelantan yang kini menular ke beberapa daerah di negeri tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, malah, dalam beberapa hari sahaja jangkitan Covid-19 dalam kluster itu turut merebak ke daerah Besut, Terengganu. 

“Justeru, kita ambil tindakan berdasarkan penilaian risiko, jadi apa yang kita perlu lakukan dalam dua minggu ini kalau boleh duduk di rumah dan jika terpaksa keluar, pastikan patuh prosedur operasi standard (SOP). 

“Kita boleh memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Kelantan sekiranya patuh SOP dan kita berharap dapat dilaksanakan oleh penduduk di negeri itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata, salah satu faktor jangkitan berlaku di Kelantan kerana adanya pergerakan dari daerah zon merah atau negeri yang membawa virus tersebut ke sana. 

Noor Hisham turut memberikan contoh seperti Kluster Cheras, Kaya dan Iktisas di Lembah Klang dan Negeri Sembilan serta dibawa ke negeri tersebut seterusnya menjangkiti keluarga terdekat. 

“Sekiranya penduduk boleh berada di rumah dalam tempoh dua minggu, insya-Allah kita boleh mengembalikan semula perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kelantan,” katanya. 

 Dalam pada itu, beliau menambah, unjuran kebolehjangkitan di Malaysia kini di antara 1.1 hingga 0.9 dan aktiviti kesihatan awam dipertingkatkan serta kerjasama padu daripada rakyat untuk mengurangkan kes kebolehjangkitan kepada 0.5. 

Menerusi sidang akbar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kelantan bermula esok hingga 6 Disember depan.  -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: