Ahad, 8 November 2020

'Kasihanilah petugas KKM' - KPN

KPN merayu masyarakat di negara ini untuk benar-benar memahami pengorbanan setiap kakitangan KKM. - NSTP/Eizairi Shamsudin
KPN merayu masyarakat di negara ini untuk benar-benar memahami pengorbanan setiap kakitangan KKM. - NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, merayu masyarakat di negara ini untuk benar-benar memahami pengorbanan setiap kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, langkah paling tepat untuk masyarakat membalas jasa dan bakti warga KKM adalah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Saya minta dan merayu kepada semua pihak untuk sentiasa ingat perjuangan panglima perang utama semasa ancaman COVID-19 ini iaitu petugas KKM yang juga benteng barisan hadapan negara ketika ini.

"Mereka berhempas-pulas mempertaruhkan nyawa, bersengkang mata untuk merawat kita memastikan keselamatan diri kita, keluarga kita tanpa mempedulikan keselamatan diri mereka sendiri demi memerangi COVID-19.

"Oleh itu tolonglah sangat-sangat patuhilah SOP, amalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka dan hindarkanlah diri dari berkumpul di tempat sesak," katanya kepada BH hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto NSTP
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto NSTP

Abdul Hamid berkata, walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pasukan pemantau khas untuk mengambil tindakan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP namun ianya tidak akan berkesan sekiranya tiada kerjasama dari masyarakat.

"Keluarlah banyak mana kompaun sekalipun tetapi kalau tiada kesedaran diri susahlah kita nak hapuskan pandemik COVID-19 ini dari terus merebak.

"Apa yang amat penting dalam situasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini adalah kerjasama dari semua pihak dalam mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Katanya pasukan pemantau PDRM akan terus menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang masih mengingkari arahan semasa PKPB.

"Ada segelintir yang masih berdegil bergerak dari satu lokasi lain ke satu lokasi lain tanpa kebenaran dan kita akan terus ambil tindakan, ini kerana tindakan mereka tidak adil kepada sebahagian besar rakyat Malaysia yang mematuhi arahan PKPB.

Tiada ulasan: