Perdana Menteri yang menzahirkan kebimbangan itu berkata, peruntukan menjangkau RM322.5 bilion itu amat dinantikan segenap lapisan masyarakat yang terkesan dengan tempias pandemik COVID-19.
Beliau berkata, peruntukan belanjawan sedemikian wajar diluluskan secepat mungkin supaya ia berupaya memberi manfaat di semua peringkat.
"Harap mereka akan sokong, saya tidak fikir belanjawan ini adalah satu bentuk penyelesaian untuk semua, justeru ia memerlukan kebijaksanaan dan pertimbangan semua.
"Jadi, ia akan dibahaskan, mulai Isnin ini dan dimulakan oleh Ketua Pembangkang dan disusuli semua Ahli Parlimen.
"Walaupun dalam situasi COVID-19 kita masih benarkan perbahasan yang agak panjang supaya ia dapat diluluskan.
"Jika tidak, aniaya rakyat, saya tak boleh jawab apa," katanya menerusi siaran eksklusif bersama Perdana Menteri, malam tadi.
Muhyiddin berkata, belanjawan yang dibentangkan semalam merangkumi semua bidang dan menyentuh pelbagai perkara bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
Beliau berharap, belanjawan yang dibentangkan akan memberi faedah kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
"Terserah kepada mereka (Ahli Parlimen) dan kita usahakan supaya ini menjadi satu langkah yang baik untuk membantu rakyat. Saya tak fikir ini (belanjawan) penyelesaian kepada semua masalah tetapi ini adalah usaha kepada menyelesaikan masalah.
Selain itu, Muhyiddin juga berhasrat mempelawa pembangkang untuk terbabit dalam peringkat membuat pelbagai keputusan dan dasar kerajaan pada masa depan.
Perdana Menteri berkata, prinsip keterbukaan itu akan dizahirkan menerusi beberapa wadah, termasuk membuka 'pintu' supaya pembangkang diberikan tempat dalam Majlis Tindakan Ekonomi.
"Pendekatan baharu ini untuk kebaikan semua, tidak boleh kita anggap belanjawan untuk kerajaan saja, ini belanjawan rakyat.
"Kita nak dilihat mesra pelanggan, kalau baik cadangan itu, kita amik, ini langkah permulaan, seterusnya saya nak pelawa pembangkang untuk sama duduk dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang saya pengerusikan setiap minggu," katanya.
Mengulas lanjut mengenai belanjawan, Muhyiddin berharap bantuan diberikan kepada rakyat melalui Belanjawan 2021 akan memberi kesan berganda khususnya kepada golongan memerlukan.
Katanya, kerajaan sedar tidak selamanya rakyat harus bergantung kepada bantuan namun dalam keadaan sukar ini harus dilaksanakan.
"Dalam situasi sukar kerajaan harus tolong kalau terpaksa pinjam lebih pun ia akan dilaksanakan. Langkah diambil bukan setakat mengekalkan pekerjaan namun menjana ekonomi dan sektor seperti perdagangan dan peruncitan.
"Kita mahu kesan penggandaan akan dapat dilakukan walaupun perlu dibantu dalam peringkat ini, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan