KOTA KINABALU: Walaupun kurang sedikit berbanding peruntukan tahun ini, RM5.1 bilion yang diberikan kepada Sabah untuk pembangunan infrastruktur dalam Belanjawan 2021 masih boleh memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia turut menunjukkan, kerajaan Pusat masih mampu memberikan peruntukan yang besar walaupun dalam keadaan ekonomi negara merudum disebabkan pandemik COVID-19.
"Kita bersyukur dan berharap, daripada sejumlah peruntukan itu Kementerian Kerja Raya negeri akan mendapat agihan lebih banyak memandangkan ia memerlukan peruntukan yang lebih tinggi bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur.
"Ia termasuk kerja menambah baik kualiti jalan persekutuan, jalan raya di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekalan air, menaik taraf sekolah daif dan penyelenggaraan bangunan di bawah kawalan JKR," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu.
Menerusi belanjawan itu, Sabah menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.1 bilion berbanding RM5.2 bilion dalam belanjawan tahun ini, namun masih tinggi berbanding Sarawak yang hanya mendapat RM4.5 bilion.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Belanjawan 2021 bersifat menyeluruh kerana banyak lagi peruntukan lain diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021, termasuk RM3.8 bilion untuk kesinambungan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.
Katanya, peruntukan itu untuk memulihkan pelaksanaan projek berkenaan selain memulakan Pakej Serusop ke Pituru sepanjang 21 kilometer menghubungkan Tuaran dan Kota Belud yang sebelum ini menjadi 'missing link."
Tambahnya, JKR Sabah berharap bukan saja 11 pakej Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang sudah diluluskan sebelum ini diteruskan, malah baki 24 pakej lagi dapat dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bermula tahun depan.
Secara keseluruhan, katanya Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah mempunyai 35 pakej dengan 11 pakej sedang dalam pelaksanaan, satu pakej ditender semula di Tawau, tiga pakej dalam pemilihan kontraktor pelaksana, manakala baki 20 pakej belum dimulakan.
"Kita berharap kerajaan persekutuan dapat meluluskan peruntukan segera bagi melaksanakan baki 20 pakej lagi agar pelaksanaannya dapat dimulakan seawal RMK-12 ini," katanya.
Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, peruntukan yang diberikan kepada Sabah dalam Belanjawan 2021 mencerminkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.
"Penyambungan semula projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan projek pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sudah pasti akan membawa limpahan ekonomi kepada akyat dan memberi keyakinan kepada pelabur masuk ke Sabah," tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Bung Moktar turut mengulas beberapa inisiatif yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 seperti menerus dan meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinamakan semula sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
Katanya, keprihatinan kerajaan terhadap keadaan hidup rakyat memberi kelegaan kepada ramai orang khususnya dalam membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang juga Ketua UMNO Sabah itu turut menyambut baik peruntukan untuk pembangunan insfrastruktur di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Jelasnya, Sabah wajar menerima peruntukan terbesar dalam pelaksanaan projek itu memandangkan masih banyak kawasan khususnya di luar bandar belum mendapat liputan jalur lebar yang baik.
"Pelaksanaan projek ini penting untuk menyediakan liputan jalur lebar berkualiti kepada rakyat kerana kemudahan internet semakin penting khususnya untuk menyokong pertumbuhan perniagaan secara dalam talian atau e-Commerce.
"Pada masa sama, liputan jalur lebar secara meluas juga perlu untuk memastikan semua sekolah di negeri ini dapat memanfaatkan kemudahan digital selain menyokong kaedah pembelajaran secara dalam talian yang kini menjadi norma baharu dalam usaha mengekang penularan COVID-19," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan